KUALA LUMPUR 19 Julai - Tekanan terhadap inflasi makanan dijangka berkurangan pada separuh kedua ini berikutan penurunan harga minyak sawit mentah, demikian menurut MIDF Research.
Firma itu berkata, sejak awal bulan ini, harga minyak sawit mentah Malaysia diniagakan rendah di bawah paras RM4,000 satu tan metrik.
Secara dasarnya, katanya, tekanan inflasi keseluruhan di Malaysia kekal stabil terutama dengan penurunan harga komoditi global.
"Dengan penurunan ini, kami juga menjangkakan bekalan makanan yang lebih baik di peringkat global dan domestik akan mengurangkan tekanan harga makanan pada separuh kedua 2022.
"Ini membolehkan kami mengekalkan unjuran indeks harga pengguna (IHP) utama pada 2.8% bagi tahun ini, yang masih dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia antara 2.3 hingga 3.3%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sebelum ini, harga komoditi itu berlegar melebihi RM6,000 satu tan metrik bagi tempoh Mac hingga Mei 2022.
Malah, ia mencapai paras tertinggi sekitar RM7,194 satu tan metrik yang direkodkan pada 29 April 2022.
Baru-baru ini, Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak industri minyak masak sawit secara prinsip bersetuju membuat 'adjustment' bagi menurunkan harga minyak masak secara berperingkat berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihak industri berkenaan telah bersetuju dengan syor Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai penurunan harga yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Susulan itu, Pasukan Jihad Tangani Inflasi itu menyasarkan untuk mengurangkan 10% harga minyak masak dalam tempoh 2 minggu akan datang berikutan penurunan harga minyak sawit.
Malah, Annuar Musa juga berharap pihak industri termasuk pengeluar dapat bekerjasama untuk mengurangkan harga minyak masak sepanjang tempoh berkenaan. - DagangNews.com








