SUV G6 dijangka model pertama XPeng dipasarkan Bermaz Auto di Malaysia | DagangNews Skip to main content

SUV G6 dijangka model pertama XPeng dipasarkan Bermaz Auto di Malaysia

XPeng membangunkan SUV G6 pemanduan sebelah kanan./ Gambar hiasan laman XPeng
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mac - XPeng G6 yang menjadi model pertama kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD) syarikat elektrik China itu dijangka dipasarkan di Malaysia pada harga bermula kira-kira RM150,000 sekali gus menjadi pesaing Tesla Model-Y.

 

MIDF Research berkata, ini susulan pengumuman Bermaz Auto Berhad (BAuto) menjadi pengedar XPeng di negara ini dengan SUV G6 dilihat model yang sudah dalam perancangan untuk dipasarkan di pasaran RHD.

 

Kata firma penyelidikan itu, model RHD G6 dijadualkan bakal dilancarkan pada separuh kedua tahun 2024 dan berdasarkan harga di China ia dijual antara RMB210,000-277,000.

 

"Kami menganggap G6 mungkin berada di sekitar RM150,000-RM200,000 untuk pasaran Malaysia, yang akan bersaing dengan BYD Atto dan Tesla Model-Y," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MIDF Research, walaupun masih awal, penambahan XPeng diyakini mengisi jurang penting dalam pelan elektrifikasi BAuto memandangkan penguasaan industri automotif China dan kecekapan teknikal dalam ruang kenderaan elektrik bateri (BEV).

 

"BAuto pada masa ini sangat bergantung pada jenama Jepun dan baru-baru ini Korea, untuk memacu jualan.

 

"ICE (enjin bahan api) dijangka kekal sebagai tunjang utama kumpulan buat masa ini sejajar dengan penembusan BEV yang masih sedikit di Malaysia yang berada pada 1.3% pada CY23.

 

"Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai 15%/38% penembusan xEV menjelang 2030/40; peralihan kepada BEV dijangka meningkat apabila kos BEV bergerak lebih hampir sama dengan ICE," katanya.

 

 

Kata firma penyelidikan itu, perkongsian dengan XPeng meletakkan BAuto dengan baik untuk merebut peluang pertumbuhan sedemikian dalam peralihan.

 

Menurut MIDF Research, kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi pengembangan global XPeng yang menganggap ASEAN sebagai sebahagian daripada wilayah utama yang dinanti-nantikan. 

 

"Bagi ASEAN, kumpulan itu telah mendedahkan rancangannya untuk memasuki pasaran Singapura, Thailand dan Malaysia melalui perkongsian dengan pengedar tempatan.

 

"Setakat maklumat kami, BAuto mungkin mempertimbangkan untuk berunding untuk hak pengedaran untuk pasaran Filipina di mana ia mempunyai rangkaian pengedaran sedia untuk jenama Mazda.

 

"Secara umumnya, kami percaya pengembangan XPeng mencerminkan strategi pemain kereta China untuk kepelbagaian daripada pasaran EV China yang kompetitif yang kini menghadapi lebihan bekalan dan persaingan harga yang teruk," katanya. - DagangNews.com