Suruhanjaya Tenaga, SME Corp jalin kerjasama laksana program pembangunan PMKS | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Tenaga, SME Corp jalin kerjasama laksana program pembangunan PMKS

Datuk Abdul Razib Dawood (kiri) dan Rizal Nainy ketika memeterai MoU antara Suruhanjaya Tenaga dan SME Corp di Putrajaya pada 21 Mac 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama SME Corp Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memperluas dan meneruskan hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. 

 

ST dan SME Corp memaklumkan, antara bidang kerjasama tersebut, merangkumi pelaksanaan aktiviti bersama bagi program-program pembangunan yang melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Selain itu katanya, ia turut melibatkan pertukaran/perkongsian maklumat kepada pemegang taruh bagi memastikan polisi dan program-program yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara efektif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ST, Datuk Abdul Razib Dawood berkata, ST sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara berharap supaya pemeteraian MoU itu dapat meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua pihak.

 

"Ini terutama melibatkan program pembangunan PMKS, merangkumi program-program kesedaran kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik dan gas berpaip dalam kalangan PMKS," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, pihaknya sebagai Agensi Penyelaras Pusat dalam pembangunan PMKS boleh membantu meningkatkan kesedaran mengenai program berkaitan kecekapan tenaga menerusi kementerian dan agensi yang terlibat. 

 

"Pengurusan tenaga merupakan salah satu petunjuk asas dalam menilai amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan PMKS berdasarkan Panduan Pantas ESG untuk PMKS yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Februari 2024," katanya. - DagangNews.com