Starrtrek Carriers perkenalkan khidmat pengangkut kenderaan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Starrtrek Carriers perkenalkan khidmat pengangkut kenderaan baharu

Semi-trailer bertutup Auriga Deluxe.

KUALA LUMPUR 15 Mac — Berbekalkan lebih daripada 30 tahun pengalaman dalam industri logistik automotif Malaysia, Datuk Kumar Prabakaran kini menawarkan servis pengangkutan kenderaan baharu yang berkualiti dan canggih, Starrtrek Carriers Sdn Bhd.

 

Dibangunkan berdasarkan himpunan pengalaman dan pengetahuan hasil daripada penglibatan saban tahun dalam industri perkhidmatan logistik automotif Malaysia, Starrtrek membawakan barisan pengangkutan kenderaan rekaan Eropah yang terbaik dalam kelasnya.

 

Buat julung kalinya, memperkenalkan semi-trailer bertutup Auriga Deluxe 122 dan semi-trailer Blizzard, yang kedua-duanya diyakini bakal memberi saingan dalam pasaran logistik automotif Malaysia.

 

Dengan gabungan pembuatan dan binaan berkualiti tinggi, ruang bertutup Auriga Deluxe boleh membawa kenderaan tanpa mendedahkannya kepada cuaca Malaysia yang tidak menentu, memberi perlindungan tambahan ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata dan melindungi kenderaan daripada lantunan batu di sepanjang perjalanan.

 

Sementara itu, dengan reka bentuk yang invotif, semi-trailer Blizzard pula memberi lebih banyak ruang untuk membawa lebih banyak beban bagi setiap perjalanan berbanding kebanyakan semi-trailer di Malaysia.

 

Ini melambangkan evolusi dalam perkembangan pengangkutan kenderaan yang lebih fleksibel, berkecekapan tinggi, dengan operasi mesra pemandu, tahan lama serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

 

Barisan pengangkutan kenderaan ini juga mampu menepati keperluan industri dan juga pelbagai keperluan pengguna iaitu:

Faktor bebanan: dari kereta penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV), SUV hinggalah kepada van, caravan dan camper.

Ringan: berat ideal berjaya dicapai tanpa berkompromi dengan keteguhan dan ketahanannya, dengan penggunaan keluli berketahanan tinggi dan komponen berkualiti tinggi. Ia ringan, sekaligus menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih rendah.

Keanjalan: struktur umum trak dan trailer boleh digabungkan di antara pelbagai model dan operasi sistem pengangkut membolehkan kerja-kerja muat-turun dilakukan dengan mudah dan pantas.


 

starrtrek
                                                                                         Datuk Kumar Prabakaran

 


Pengarah Urusan Starrtrek Carriers, Datuk Kumar Prabakaran berkata, dengan pengangkutan canggih ini, pihaknya menetapkan tahap baru bagi servis logistik kenderaan berkualiti tinggi tanpa sebarang kompromi.

 

''Kami berbangga menjadi pelopor dalam lapangan ini yang mampu menawarkan kualiti servis yang lebih tinggi kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kedua-dua Auriga Deluxe dan semi-trailer Blizzard dilengkapi dengan sistem hidraulik untuk membantu mengangkat dan menurunkan muatan dengan kendalian minimum.

 

Keluli ringan dan tahan lasak yang digabungkan dengan teknologi dan inovasi baru, membolehkan ia menampung muatan tinggi bagi memenuhi keperluan logistik automotif dan perniagaan pengangkutan.

 

Memberi daya saing dari segi ketahanan, keselamatan dan perlindungan sepenuhnya terhadap kenderaan di sepanjang perjalanan, ia hanya dikendalikan oleh pemandu yang terbaik untuk memenuhi servis pengangkutan dari pintu ke pintu.


 

starrtrek

 

starrtrek

 


Auriga Deluxe dan semi-trailer Blizzard disokong oleh Scania Prime Movers yang dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti GPS dan beberapa kamera pemantau.

 

Semi-trailer bertutup Auriga Deluxe boleh menampung maksimum enam kereta penumpang atau maksimum empat SUV bagi setiap perjalanan, bergantung kepada ukuran dimensi kenderaan tersebut. Blizzard pula boleh memuatkan 10 unit kenderaan bergantung kepada ukuran dan beratnya.

 

Ketika ini, Starrtrek Carriers Sdn Bhd mempunyai sebuah Semi-trailer bertutup Auriga Deluxe dan enam unit semi-trailer Blizzard dan beroperasi di seluruh Semenanjung. – DagangNews.com