SP Setia masih menghadapi cabaran dalam meningkatkan keuntungan – HLIB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SP Setia masih menghadapi cabaran dalam meningkatkan keuntungan – HLIB 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov - SP Setia Berhad masih menghadapi cabaran dalam meningkatkan keuntungannya, termasuk kos kewangan yang lebih tinggi berikutan kenaikan mendadak kadar faedah, peningkatan kos pentadbiran serta kerugian daripada projek Battersea kumpulan yang terletak di London.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata kumpulan itu melaporkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) teras suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) sebanyak RM17.6 juta membawa jumlah bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) naik 45.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM52.5 juta.

 

"Keputusan adalah di bawah jangkaan kami (25.5%) dan konsensus (18.1%). Sisihan negatif adalah disebabkan oleh (i) pengiktirafan projek kumpulan di  Australia yang lebih perlahan daripada jangkaan (sesetengahnya akan diiktiraf pada FY24 berbanding andaian awal pengiktirafan kami pada FY23) dan (ii) perbelanjaan operasi lebih tinggi daripada jangkaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, HLIB menurunkan unjuran pendapatan bagi FY23 dan FY25 masing-masing sebanyak 44.5% dan 1.1%, manakala anggaran bagi FY24 dinaikkan 4%. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 77 sen sesaham berdasarkan diskaun 84% kepada anggaran aset bersih dinilai semula (RNAV) firma sebanyak RM4.84.

 

Dari sudut positif, firma itu berkata penggearan bersih kumpulan (termasuk saham keutamaan boleh tukar boleh tebus [RCPS]) bertambah baik pada 3QFY23 kepada 75.5% daripada 78.7% pada 2QFY23. 

 

Tambahnya, ia menjangkakan peningkatan selanjutnya dalam FY24 disebabkan hasil penjualan beberapa bidang tanahnya, seperti kepada Mah Sing dan Scientex yang berkemungkinan diiktiraf pada FY24.

 

Di samping itu, kumpulan itu juga merancang untuk menjual sebidang tanah berkeluasan 7.28 hektar di perbandaran Setia Alam mereka bernilai RM228.8 juta,

 

Sekiranya penjualan tanah seperti yang dinyatakan di atas menjadi kenyataan, kumpulan itu juga dijangka mengiktiraf keuntungan jualan tanah yang besar pada TK24.

 

"Sekiranya penjualan tanah seperti yang dinyatakan di atas menjadi kenyataan, kumpulan itu juga dijangka mengiktiraf keuntungan jualan tanah yang besar pada FY24," tambahnya.

 

Pada pukul 12:11 tengah hari ini, saham SP Setia turun 3 sen atau 3.6% kepada 81.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.38 bilion.  - DagangNews.com