S&P Industries pilih DKSH luaskan pasaran jenama jenama Santan dan Cosip di Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

S&P Industries pilih DKSH luaskan pasaran jenama jenama Santan dan Cosip di Semenanjung Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - DKSH telah menjalin kerjasama strategik baharu dengan S&P Industries Sdn Bhd untuk mengembangkan kehadiran produk kelapa di bawah jenama Santan dan Cosip di Semenanjung Malaysia.

 

S&P Industries Sdn Bhd, yang merupakan pengeluar produk kelapa tempatan akan memanfaatkan rangkaian pengedaran DKSH yang luas dan kepakaran tempatan yang mendalam.

 

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, DKSH Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran penuh, merangkumi pemasaran dan jualan, perkhidmatan pemasaran lapangan, pengedaran dan logistik, serta kredit dan kutipan.

 

Rangkaian produk S&P Industries yang akan diedarkan DKSH termasuk serbuk kelapa santan, santan, kelapa kering, ketupat, kerisik, air kelapa sedia diminum Cosip, dan minuman santan. 

 

"Dengan memanfaatkan pendekatan omni-channel DKSH, kerjasama ini akan memastikan produk S&P Industries tersedia melalui pelbagai saluran pengedaran, seperti perdagangan moden, farmasi, pasar raya, kedai serbaneka, perdagangan tradisional dan saluran perkhidmatan makanan," katanya.

 

Menurut kenyataan tersebut, kerjasama DKSH dan S&P Industries melangkaui kelebihan strategik, melambangkan penumpuan nilai bersama yang didedikasikan untuk memberi nilai pengguna yang luar biasa. 

 

Kerjasama ini menggabungkan produk kelapa kaya budaya S&P Industries dengan komitmen DKSH terhadap produk berkualiti premium.

 

“Kami mempunyai keyakinan terhadap DKSH yang mempunyai kehadiran serantau yang kukuh , rangkaian pengedaran meluas dan tenaga jualan berpengalaman, yang sudah pasti akan mengukuhkan kehadiran komersial jenama kami dan pertumbuhan berterusan dalam pasaran ini," ulas Pengarah Jualan dan Pemasaran S&P Industries, Lee Chee Bun.

 

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Jualan, Pendigitalan dan Kelestarian Kumpulan DKSH, Reece Croucher, menambah kumpulan itu berharap dapat menggabungkan kepakaran dan sumber untuk meningkatkan produk S&P Industries dalam saluran barangan pengguna bergerak pantas  dan perkhidmatan makanan di Malaysia Barat. 

 

"Bersama-sama, kami berhasrat untuk menetapkan piawaian baharu, memastikan pengguna Malaysia Barat mempunyai akses kepada pilihan berkualiti premium yang meningkatkan pengalaman masakan mereka," katanya. - DagangNews.com