KUALA LUMPUR 4 Mac - SMRT Holdings Bhd memperoleh kontrak daripada Pito AxM Platform Inc untuk projek penyelesaian infrastruktur ATM terurusnya di Filipina.
Kontrak berkenaan diberikan kepada anak syarikatnya, N'osairis Technology Solutions Inc (NTSI).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SMRT berkata, tempoh projek itu adalah selama tiga tahun bagi setiap tapak yang akan ditetapkan oleh Pito AxM, bermula dari tarikh pemasangan setiap tapak.
Pemasangan semua tapak yang ditetapkan hendaklah dilakukan pada tahun 2024.
SMRT berkata, tiada jumlah kontrak tetap kerana NTSI akan membuat bil mengikut kerja yang dilakukan.
“Sepanjang tempoh Projek, NTSI akan menguruskan sepenuhnya infrastruktur rangkaian di semua tapak ATM yang akan dipasang dengan spesifikasi berkaitan yang ditetapkan sebagai Sokongan Keutamaan (Wayarles).
"NTSI akan menyediakan Jaminan Tahap Perkhidmatan 99.5% untuk masa operasi rangkaian di setiap tapak yang dipasang," katanya.
Menurut sarikat teknologi itu, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham Kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham setuju cadangan jadikan SMRT Holdings sebagai penyedia penyelesaian IoT
"Hasil penyelenggaraan berulang akan diiktiraf untuk tiga tahun akan datang selepas itu.
"Kumpulan SMRT berhasrat untuk membiayai komitmen melalui dana yang dijana secara dalaman," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SMRT, Maha Palan berkata, berdasarkan kejayaan dalam pasaran Indonesia, pihaknya teruja dengan kejayaan menembusi pasaran Filipina menerusi projek ini.
"Dengan tapak tambahan yang akan kami uruskan, kami akan mengembangkan lagi asas pendapatan berulang kami. Pada masa ini, lebih daripada 50% hasil kami berpunca daripada sumber berulang.
“Ketika mengembangkan jejak ke Filipina, kami berada pada kedudukan yang baik untuk meniru model perniagaan kami yang terbukti dalam pasaran berpotensi lain di seluruh ASEAN.
"Kami kekal yakin dengan strategi pertumbuhan semasa kami dan komited kepada matlamat untuk menjadi penyedia terkemuka perkhidmatan IoT hujung ke hujung yang komprehensif di rantau ini," ujarnya dalam kenyataan media hari ini.
PAPI diperbadankan di Filipina pada 2019, memberi tumpuan kepada menawarkan perkhidmatan ATM seperti pertanyaan baki dan pengeluaran tunai serta deposit untuk pelanggannya di pasaran Filipina.- DagangNews.com








