SME Bank bimbing 11 PKS Malaysia teroka peluang eksport di Gulfood Dubai 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SME Bank bimbing 11 PKS Malaysia teroka peluang eksport di Gulfood Dubai 2024

Pelawat GulFood 2024 di reruai Syillis Food di Malaysia Pavillion.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Feb - SME Bank membimbing 11 buah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk meneroka peluang eksport di Gulfood Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu ini.  

 

Gulfood Dubai merupakan platform strategik bagi usahawan Malaysia mengetengahkan produk mereka di pentas global kerana acara itu diiktiraf sebagai antara pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) terbesar di dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, pada Gulfood 2023, peserta di bawah bimbingan SME Bank berjaya menjana jualan bernilai RM6.35 juta dan jumlah ini dijangka bertambah pada tahun ini.

 

Katanya, tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut SME Bank membawa usahawan ke Gulfood yang telah memperluaskan peluang perniagaan untuk PKS Malaysia, khususnya dalam sektor halal di pasaran antarabangsa. 

 

"Usahawan terlibat merupakan peserta Program Eksport Perniagaan (BEP) dan Program Market Access Incentive (MASSIVE) yang merupakan program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

"Program ini diterajui SME Bank dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)" katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Gulfood 2024 yang berlangsung selama seminggu itu menyaksikan beberapa peristiwa penting termasuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Happymarket Trading Co. Pte. Ltd Maldives, serta antara Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Imperia Asia F&B Trading Co. LLC; dua entiti yang berdaftar di Malaysia merupakan pelanggan sedia ada SME Bank. 

 

sme2
Aria Putera Ismail dan KSU KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad melancarkan Biskut Kuih Bakar oleh The Skinny Bakers di GulFood 2024, Dubai.

 

Selain itu, Syillis Food Manufacturing Sdn. Bhd. - bersama dua syarikat lain yang mengambil bahagian - Syed Food Industries Sdn. Bhd. dan Skinny Bakers Group Sdn. Bhd. telah melancarkan produk baharu masing-masing iaitu Minyak Cili, Kuih Kacang berperisa Durian Musang King, Nasi Ayam Mandy dan Biskut Kuih Bakar.

 

Menurut Dr Aria, pengenalan produk Malaysia yang inovatif ini mencerminkan kepintaran dan kepakaran dinamik PKS tempatan, menggabungkan tradisi dan inovasi untuk pasaran global. 

 

"SME Bank akan terus menyokong PKS secara holistik bukan sahaja melalui program pembangunan kapasiti dan bantuan kewangan, tetapi juga dengan menyediakan platform optimum.

 

sme4
Suriani Ahmad dan Aria Putera Ismail melancarkan Minyak Cili oleh Syillis Food Manufacturing Sdn Bhd di GulFood 2024.

 

"Ini untuk meningkatkan pengiktirafan jenama mereka, memupuk rangkaian perniagaan dengan peneraju industri dan menjalin perkongsian perdagangan yang berharga dengan pembeli, pengimport dan bakal pelabur,” jelasnya.

 

Katanya, SME Bank telah berjaya membimbing 62 buah syarikat sejak program BEP dimulakan pada tahun 2020. 

 

"Walaupun menghadapi cabaran pandemik COVID-19 pada masa itu, peserta program BEP telah berjaya menjana jualan eksport RM150.48 juta, sekali gus mempamerkan dedikasi SME Bank sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan antarabangsa," katanya. - DagangNews.com