KUALA LUMPUR 2 Ogos - Menyedari keperluan untuk menerima industri fesyen sebagai sebahagian daripada pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula tempatan, Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) mengumumkan 16 syarikat terpilih untuk menjalani program Selangor Fashion Accelerator 2022.
Berfungsi sebagai sebuah platform untuk menerajui transformasi digital Selangor sekali gus menjadi hab digital Asia Tenggara, Sidec sentiasa memikirkan komunitinya untuk memastikan mereka dibekalkan dengan bahan latihan dan pendedahan yang sesuai untuk memajukan perniagaan.
Program intensif selama dua bulan itu bertujuan membantu syarikat pemula dan PKS Malaysia mewujudkan ekosistem mampan untuk bakat-bakat dalam sektor fesyen sederhana.
Ia juga menawarkan pengalaman menarik yang akan meningkatkan kesedaran jenama dalam pasaran dan industri yang akan merangkumi bengkel yang disusun khas serta sesi bimbingan yang diketuai barisan profesional dalam industri fesyen.
Selain itu, program ini juga mendapat sokongan besar daripada ikon muzik dan ahli perniagaan terkenal Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan usahawan fesyen terkenal yang lain seperti Rasta Rashid, Leslie Variyan dan Wong Lee Leng.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, memandangkan tidak banyak program yang dikhususkan untuk industri fesyen, Sidec tampil ke hadapan untuk memberi sokongan kepada perniagaan fesyen baharu dalam mengembangkan pendapatan dan prospek pelaburan mereka.
"Memberi peluang dan platform kepada pemilik perniagaan untuk berkongsi idea dan kreativiti mereka adalah komponen yang mendorong usahawan untuk tampil berani dan yakin tentang perkara yang ingin diterokai dan dipersembahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dijalankan secara hibrid (dalam talian dan luar talian), program ini merangkumi modul seperti kemahiran asas pitching, kesesuaian pasaran produk, identiti jenama atau DNA jenama, inovasi tekstil, sesi perkongsian dalam pengumpulan dana serta IP (harta intelek)/tanda dagangan.
Seramai 16 usahawan yang terpilih akan berpeluang mendapat faedah seperti akaun SQL bernilai RM948, SQL payroll berjumlah RM588, Pakej Ringan & Mudah Sprii Commerce sebanyak RM600 dan juga pakej awal Pingspace.

Kesemua 16 peserta akan menerima latihan dari 1 Ogos hingga 23 September 2022, dan hanya enam akan dipilih untuk menyampaikan pitching mereka kepada pelabur dan rakan kongsi industri pada Hari Demo, yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2022 di Pitch@Selangor 6, sempena Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) ke-7.
Pemenang juga berpotensi untuk menerima peluang pelaburan daripada The Hive Southeast Asia dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). - DagangNews.com








