Serba Dinamik catat RM1.2 bilion hasil pada Q6, dipacu segmen O&M | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik catat RM1.2 bilion hasil pada Q6, dipacu segmen O&M

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
editor@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Syarikat perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) mencatatkan hasil RM1.2 bilion bagi suku keenam tahun kewangan 2021 (6QFY21) yang berakhir 30 Jun lalu. 

 

Ini terutamanya dipacu oleh segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) kumpulan yang menyumbang RM1.1 bilion atau 90.6% daripada jumlah hasilnya, diikuti oleh segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang menyumbang 8.3% atau RM100.4 juta. 

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) Serba Dinamik pula mencecah RM14.8 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) bernilai RM13.8 juta untuk tempoh tersebut. 

 

Menurut kenyataan Serba Dinamik, tiada perbandingan bagi suku tahun berkenaan dengan tahun lalu kerana akhir tahun kewangan kumpulan telah diubah kepada 30 Jun 2021 daripada 31 Disember 2020.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, perniagaan kumpulan telah berjalan dengan baik walaupun menghadapi situasi yang mencabar pada suku tahun tersebut. 

 

“Semua segmen perniagaan kami telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Kumpulan gigih dan proaktif dalam mencari peluang baharu di kawasan yang tidak mempunyai minyak dan gas. 

 

“Kami akan mengembangkan ruang dan perhubungan perniagaan kami secara agresif. Ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

 

Kawasan Timur Tengah difahamkan menjadi penyumbang terbesar hasil kumpulan, mewakili 61.6% atau RM744.4 juta daripada jumlah hasilnya bagi tempoh tersebut. 

 

Ini diikuti oleh kawasan Asia Tenggara yang menyumbang 33.9% atau RM409.3 juta, Asia Tengah dan Selatan (3.7% atau RM44.6 juta), Tanzania (0.4% atau RM4.8 juta) dan United Kingdom (0.4% atau RM4.63 juta).

 

Bagi tempoh 18 bulan, kumpulan mencatatkan hasil RM8.6 bilion dengan PBT dan PAT masing-masing berjumlah RM848.4 juta dan RM758.4 juta.

 

Pada penutupan petang ini, harga saham Serba Dinamik menyusut 1 sen kepada 33.5 sen. - DagangNews.com