Sentral REIT catat pendapatan bersih RM19.9 juta pada 1QFY24, isytihar DPU 1.70 sen | DagangNews Skip to main content

Sentral REIT catat pendapatan bersih RM19.9 juta pada 1QFY24, isytihar DPU 1.70 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei -  Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) mencatat pendapatan bersih RM19.9 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM38.15 juta.

 

Pendapatan yang lebih tinggi bagi suku tersebut disumbangkan daripada Bangunan Sentral 4, Platinum Sentral dan Bangunan Sentral 3 –BMW serta sumbangan hasil daripada Menara CelcomDigi untuk suku penuh, selepas ditolak perbelanjaan hartanah dan kos kewangan.

 

REIT tersebut mengisytiharkan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 1.70 sen pada suku dalam tinjauan lebih tinggi berbanding 1.65 sen yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Derek Teh Wan Wei berkata, Sentral REIT mempunyai kira-kira 282,000 kaki persegi atau 14% daripada jumlah ruang boleh sewa yang dijadualkan untuk diperbaharui pada tahun ini dengan 46,000 kaki persegi daripada pajakan itu tamat tempoh pada suku pertama.

 

"Kami berjaya memperbaharui 83% daripada pajakan ini yang perlu dibayar pada suku pertama dan seterusnya, kadar penghunian puratanya dijamin pada 88%. 

 

"Selaras dengan strategi pengekalan penyewa Sentral REIT yang berterusan, kami telah memulakan rundingan awal untuk beberapa pajakan yang akan tamat tempoh pada baki suku tahun 2024.

 

"Pada masa sama, usaha pemasaran lanjutan telah dimulakan untuk memajak ruang kosong yang akan disiarkan, dengan matlamat untuk mengekalkan kadar penghunian pada tahun ini," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Beliau berkata, kos purata hutang Sentral REIT direkodkan pada kadar 4.45% setahun pada suku ini, mencatatkan sedikit peningkatan berbanding suku ebelumnya sebanyak 4.4%sejak penstabilan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei 2023.

 

"Memandangkan 75% daripada hutang Sentral REIT adalah pada kadar terapung, penilaian berkala akan dijalankan untuk mencapai imbangan optimal antara pembayaran hutang tetap dan apungan," katanya. - DagangNews.com