KUALA LUMPUR 1 April - AirAsia meraikan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia hari ini dengan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Ia menyaksikan 12 penerbangan antarabangsa AirAsia dari 8 negara, termasuk Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India tiba di klia2, menandakan permulaan kukuh untuk pemulihan perkhidmatan antarabangsa yang terhenti lebih 2 tahun disebabkan pandemik COVID-19.
Kakitangan AirAsia yang lengkap divaksinasi sepenuhnya termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan darat menyambut dan melayan para tetamu yang mengambil peluang untuk kembali terbang bersama-sama AirAsia. Sambutan serupa turut diadakan di Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa, para tetamu AirAsia kini boleh berkunjung ke destinasi popular di Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Maldives dan banyak lagi dengan tambang serendah RM89 sehala.
Laluan domestik pula bermula daripada hanya RM39 sehala. Tempahan boleh dibuat dengan menekan ikon ‘Flights’ pada airasia Super App dari sekarang hingga 3 April 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 April 2022 dan 25 Mac 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) Bo Lingam dalam kenyataan berkata, hari ini amat bermakna bagi kumpulan kerana akhirnya menyambut kedatangan pelancong dan pengembara antarabangsa ke Malaysia selepas 2 tahun.
Kumpulan, katanya, telah membuat persediaan rapi dari segi operasi untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa kepada para tetamu.
"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan negara-negara di seluruh rantau ini kerana telah membuka semula sempadan dan melonggarkan sekatan perjalanan.
"AirAsia berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri yang berkaitan untuk membina semula industri penerbangan dan pelancongan bersama-sama.
"Kami akan terus menyemak rangkaian kami dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Lebih banyak penyambungan semula perkhidmatan serta laluan unik yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat sejajar dengan pembukaan sempadan dunia secara beransur-ansur," katanya. - DagangNews.com








