Sektor REIT berdepan prospek bercampur-campur pada separuh kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor REIT berdepan prospek bercampur-campur pada separuh kedua

Sentral REIT dinamakan sebagai pilihan utama CGS-CIMB Research bagi sektor REIT.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka berdepan prospek bercampur-campur dengan menjangkakan pemulihan berbentuk U dalam persekitaran operasinya pada separuh kedua ini.

 

CGS-CIMB Research menjangkakan segmen peruncitan akan memacu pemulihan sektor itu dengan kekaikan kadar dasar semalaman dan inflasi masih kekal tidak menentu.

 

Firma itu berhati-hati terhadap prospek bagi segmen perhotelan tetapi positif terhadap aset perindustrian, logistik dan gudang. 

 

Bagi segmen peruncitan, menurutnya, risiko bantuan sewa/rebat semakin berkurangan, walaupun mungkin terdapat rebat terpilih, kerana penyewa runcit mula mendapat manfaat daripada lonjakan perbelanjaan runcit (yang meningkat 15 hingga 20% melebihi tahap sebelum pandemik).

 

"Kami menjangkakan perbelanjaan yang didorong oleh perayaan akan menyokong jualan runcit pada separuh kedua ini, mengurangkan kesan negatif kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan inflasi ke atas perbelanjaan pengguna.

 

"Malah, Retail Group of Malaysia (RGM) sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan jualan runcit bagi tahun ini akan berkembang 13.1% tahun ke tahun, melebihi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami sebanyak 6.2% tahun ke tahun," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, segmen hotel dan pejabat akan terus berdepan cabaran pada separuh kedua dan lebih lambat pulih berbanding segmen peruncitan. 

 

Dalam segmen hotel, meskipun kadar penghunian meningkat antara 50 hingga 55% pada akhir 2021, tetapi peningkatan itu terbatas memandangkan kehadiran pelancong antarabangsa mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk kembali ke paras sebelum pandemik.

 

"Berdasarkan semakan kami, industri berpendapatan pemulihan kadar penghunian hotel akan meningkat kepada 60 hingga 70% pada akhir tahun ini," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor REIT dengan menjangkakan pemulihannya akan disokong oleh impak positif daripada pembukaan ekonomi sejak suku keempat 2021.

 

Selain itu, aktiviti pelancongan domestik yang semakin meningkat, kelonggaran sekatan antarabangsa, kadar penghunian hotel yang semakin baik dan pekerja yang kembali memasuki pejabat dan ruang komersial, akan terus menyokong pemulihan sektor berkenaan.

 

Firma itu menamakan Axis REIT, IGB REIT dan Sentral REIT sebagai pilihan utama bagi sektor berkenaan dengan masing-masing diberi saranan 'tambah' pada harga sasaran RM2.34, RM1.90 dan RM1. - DagangNews.com