Sektor perkhidmatan catat kenaikan harga pada suku pertama 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sektor perkhidmatan catat kenaikan harga pada suku pertama 2024 - DOSM

Semua subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku tahun ini kecuali indeks Pengangkutan. - Gambar ihsan PDT Petaling
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) yang mengukur perubahan harga pengeluar bagi sektor perkhidmatan tempatan di Malaysia meningkat 1.0 peratus pada suku tahun pertama 2024.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IHPRP pada suku berkenaan mencatatkan 115.8 mata, peningkatan 1.0 peratus sama seperti yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2023.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, semua subsektor merekodkan peningkatan pada suku tahun ini kecuali indeks Pengangkutan yang kekal tidak berubah. 

 

"Subsektor Kesenian, Hiburan & Rekreasi meningkat 7.5 peratus (ST4 2023: 5.5%) disumbangkan oleh peningkatan dalam Aktiviti Hiburan & Rekreasi Lain (2.1%). 

 

"Indeks Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman merekodkan kenaikan 2.5 peratus (ST4 2023: 3.4%) disebabkan kenaikan dalam Aktiviti Perkhidmatan Minuman (3.3%) dan Restoran & Aktiviti Perkhidmatan Makanan Bergerak (2.8%)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

dosm

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan catat peningkatan 1% pada suku keempat 2023 - DOSM

 

Jelas Dr Mohd Uzir, pada masa yang sama, subsektor lain yang mencatatkan peningkatan perlahan adalah Pendidikan (0.8%) dan Aktiviti Hartanah (0.6%). Manakala, kedua-dua indeks Kesihatan dan Profesional meningkat 0.2 peratus, diikuti oleh indeks Maklumat & Komunikasi yang meningkat sebanyak 0.1 peratus.

 

“Perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat 0.3 peratus berbanding 0.1 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya. 

 

"Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh indeks Pengangkutan (0.7%), Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (0.5%), Pendidikan (0.3%) dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi (0.2%)," jelasnya.

 

Pada masa yang sama, katanya, subsektor lain iaitu Aktiviti Hartanah, Kesihatan, Maklumat & Komunikasi dan Profesional merekodkan kenaikan sebanyak 0.1 peratus. - DagangNews.com