Sedania As Salam Capital bentuk Jawatankuasa Syariah bagi perdagangan komoditi | DagangNews Skip to main content

Sedania As Salam Capital bentuk Jawatankuasa Syariah bagi perdagangan komoditi

Pengasas dan Pengarah Urus Sedania Innovator, Datuk Azrin Mohd Noor (berdiri kiri); Pengerusi Sedania Innovator, Tan Sri Abdul Halim Ali (berdiri tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedania Innovator, Khairul Nisa Ismail bersama Ahli Jawatankuasa Syariah.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - Sedania Innovator Berhad menerusi anak syarikat teknologi kewangannya, Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. melantik empat penasihat syariah bagi membentuk Jawatankuasa Syariah menyeluruh buat kali pertama bagi perdagangan komoditi.

 

Jawatankuasa Syariah itu diketuai Prof. Dr. Aznan Hasan sebagai pengerusi dan jawatankuasa itu terdiri daripada Prof. Madya Dr. Ahcene Lahsasna, Dr. Khairul Anuar Ahmad dan Ustaz Mohd. Rofaizal Ibhraim.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail berkata, Jawatankuasa Syariah itu akan membina keyakinan yang lebih utuh, berintergriti dan beretika bagi pengguna Sedania As Salam, yang terdiri daripada 95 Institusi Perkhidmatan Kewangan (FSI). 

 

Katanya, langkah strategik itu seterusnya akan menempatkan serta memperkukuhkan penawaran fintech Islamik di peringkat global.

 

"Penubuhan Jawatankuasa Syariah adalah satu tonggak penting bagi syarikat kami kerana ia menunjukkan hasrat kami sebagai syarikat berlandaskan ESG bagi mengukuh etika dan integriti perkhidmatan kami selaras dengan prinsip-prinsip syariah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Aznan berharap, penubuhan Jawatankuasa Syariah itu akan mengukuh usaha tadbir urus Sedania, dengan pematuhan yang lebih ketat kepada prinsip tadbir urus syariah dalam urusniaga yang melibatkan murabahah komoditi.

 

jawatankuasa
Prof. Dr. Aznan Hasan (dua dari kiri) bersama barisan Jawatankuasa Syariah yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Ahcene Lahsasna (kiri), Mohd. Rofaizal Ibhraim (dua dari kanan) dan Dr. Khairul Anuar Ahmad (kanan).

 

"Penyedia platform bertanggungjawab bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua prinsip syariah, terutamanya yang berkaitan dengan kewujudan komoditi asas tawarruq, nilai, kepastian dan kebolehan penghantaran. 

 

"Sebarang ketidakpatuhan bukan sahaja akan mengakibatkan ketidakpatuhan syariah dan pendapatan yang dihasilkan daripada urusniaga akan disalurkan terus kepada kegiatan amal dan seterusnya mempengaruhi reputasi kewangan Islam," katanya.

 

Pelantikan Aznan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah adalah langkah terbaik kerana beliau memainkan peranan penting sebagai ahli Lembaga Penasihat Syariah Sedania As Salam sejak 2015. 

 

Beliau juga memegang jawatan bereputasi tinggi seperti Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengawasan Syariah Bank Nizwa, antara lain, yang mencerminkan pengetahuannya yang mendalam dalam kewangan Islam.- DagangNews.com