Sedania diiktiraf sebagai penyedia teknologi Islamik terbaik IFN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sedania diiktiraf sebagai penyedia teknologi Islamik terbaik IFN

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, unit teknologi kewangan (fintech) Sedania Innovator Berhad, sekali lagi meraih kejayaan dengan merangkul gelaran penyedia teknologi Islamik terbaik daripada Islamic Finance News (IFN). 

 

Pencapaian itu merupakan penghargaan antarabangsa ketiga bagi Sedania As Salam pada tahun ini, menjadikan mereka sebagai peneraju dalam bidang fintech Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail berkata, pengiktirafan tersohor itu membuktikan keupayaan kukuh pihaknya dalam menerajui kelancaran evolusi digital sektor perkhidmatan kewangan. 

 

Dengan ini katanya, ia mempercepatkan penggunaan perbankan digital di Malaysia dan seterusnya. 

 

"Pencapaian ini hanya dapat diraih dengan hasil kerjasama rakan teknologi global, yang mana kami menggabungkan teknologi untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan penubuhan digital dan neobank. 

 

"Kerjasama padu dan strategik ini meletakkan kami di kedudukan lebih baik untuk menyediakan infrastruktur digital yang inovatif untuk perkhidmatan pelanggan yang lancar," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

sedania
Nisa Ismail

 

 

Sementara itu, selaras dengan komitmen mereka terhadap prinsip Islam, Sedania As Salam baru-baru ini mengumumkan pembentukan jawatankuasa syariah dalaman. 

 

 

sedania

 

 

Jawatankuasa itu memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan syariah terhadap rumusan teknologi mereka. 

 

Sedania As Salam menerima kelulusan pematuhan syariah daripada organisasi ternama seperti AAOIFI, IBFIM, dan Afsha Shariah Advisory. 

 

Ia mengukuhkan komitmen mereka bagi menyediakan perkhidmatan fintech yang halal dan patuh syariah.

 

Kejayaan Sedania As Salam memenangi anugerah penyedia teknologi Islamik terbaik IFN mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam sektor kewangan dan teknologi Islam. 

 

Dengan rumusan inovatif dan dedikasi mereka terhadap pematuhan syariah, mereka terus mengetuai dan memimpin jalan dalam memenuhi keperluan unik industri kewangan Islam. - DagangNews.com