SCIB raih pendapatan RM161.5 juta | DagangNews Skip to main content

SCIB raih pendapatan RM161.5 juta

KUALA LUMPUR 1 Okt - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), firma kejuruteraan awam meraih pendapatan RM161.5 juta pada suku tahun berakhir 30 Jun 2021.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, tiada perbandingan untuk suku sama tahun kewangan sebelumnya kerana SCIB mengubah tahun kewangan berakhir kepada 30 Jun 2021 berbanding 31 Disember 2020 sebelum ini pada Mei lalu.

 

Bagi tempoh suku dikaji, SCIB mencatat kerugian selepas cukai RM19.57 juta, terutamanya disebabkan oleh peruntukan tambahan untuk kos projek dari penempatan semula strategi perniagaan dan kerugian rosot nilai sebanyak RM14.4 juta.

 

Mengikut segmen, bahagian pembinaan/kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menjadi penyumbang terbesar pendapatan kumpulan kepada RM161.5 juta, diikuti bahagian pembuatan dengan pendapatan RM20 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif 18 bulan, SCIB meraih pendapatan berjumlah RM852.8 juta, sementara dalam tempoh sama, kumpulan itu mencatat keuntungan sebelum cukai dan selepas cukai masing-masing RM65.2 juta dan RM55.3 juta.

 

Setakat ini, nilai tempahan kontrak SCIB berada pada RM1.6 bilion yang akan diterjemahkan kepada sumbangan pendapatan yang baik sehingga 2030.

 

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman, berkata syarikat itu memiliki kelebihan sebagai pengeluar sistem konkrit dan sistem binaan berindustri (IBS) terbesar di Malaysia Timur dengan sinergi untuk aktiviti pembinaan kumpulan.

 

"Kelebihan kami adalah tiga kilang bersepadu dan kemudahan dermaga untuk penghantaran ke seluruh Borneo bagi membekalkan sehingga 500,000 tan produk konkrit setiap tahun.

 

"Antara projek yang berjaya dijayakan oleh SCIB adalah projek pembangunan bercampur di Sarawak; Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Kelantan; projek perumahan Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Perak; projek penyelenggaraan jalan di Terengganu; dan stesen pemindahan sisa pepejal padat, bekalan peralatan perubatan dan projek pentauliahan untuk hospital pakar di Johor.

 

"SCIB akan tetap fokus pada pengurusan projek domestik untuk mencapai prestasi yang memuaskan untuk tahun ini," katanya. - DagangNews.com