Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Kenanga Research menaikkan jumlah sasaran harga sesaham (TP) syarikat Padini Holding Bhd. kepada RM2.90.
Jelas Kenanga Research, nilai TP itu ditingkatkan kepada jumlah yang lebih tinggi berbanding jangkaan terdahulu RM2.15.
"Peningkatan itu dibuat susulan prestasi memberangsangkan (outperform) yang dicapai Padini.
"Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding harga semasa Padini iaitu RM2.32," jelas Kenanga Research.
Dalam nota kajian yang sama, Ketua Pegawai Kewangan Padini, Sharon Sung memberitahu, perkara tersebut juga memberi khabar gembira kepada jumlah hasil yang bakal dicapai pada suku keempat tahun kewangan 2020.
Jelasnya, ia juga adalah satu permulaan yang baik dalam pemulihan secara beransur-ansur daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Prestasi memberangsangkan itu turut didorong oleh permintaan yang tinggi daripada kedai-kedai di kawasan bandar tumpuan pelancong selain diimbangi oleh pemulihan positif di pusat beli-belah di kawasan luar bandar.
Kenanga Research juga meletakkan harapan kepada Padini untuk terus mencapai pemulihan secara beransur-ansur bermula pada separuh pertama tahun kewangan 2021 iaitu pada bulan Julai hingga Disember 2020.
Sebahagian hasil yang diperoleh syarikat tersebut telah diraih pada penjualan suku pertama tahun kewangan 2021 sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Manakala, hasil untuk suku kedua tahun kewangan yang sama pula dijangka akan terus positif menerusi penjualan beberapa perayaan lain seperti jualan akhir tahun, Krismas dan persiapan awal untuk sambutan Tahun Baharu Cina. - DagangNews.com








