KUALA LUMPUR 15 Ogos - Samchem Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM6.2 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM6 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya disokong permintaan kukuh bahan kimia daripada industri pembinaan.
Kumpulan itu berkata, hasil mereka juga meningkat sebanyak 8% kepada RM298.4 juta berbanding RM276.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Katanya, purata harga jualan (ASP) produk mereka kekal lemah tetapi diimbangi peningkatan permintaan.
Pengerusi Eksekutifnya, Ng Thin Poh berkata, suku kedua menunjukkan tahap aktiviti yang lebih pelahan berikutan cuti perayaan di Malaysia dan Indonesia
"Secara keseluruhannya, kami berhati-hati terhadap sentimen pelanggan di tengah-tengah pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada jangkaan dan kebimbangan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Thin Poh berkata, pihaknya sedang giat memperhalusi penawaran produk dan perkhidmatan dengan strategi mereka melibatkan penembusan industri baharu dalam pasaran utama selain meluaskan rangkaian produk dan meningkatkan perkhidmatan nilai tambah.
Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan pihakya meningkatkan bahagian pasaran sambil menunggu pemulihan permintaan.
"Kami melihat penyatuan yang berterusan dalam industri petrokimia global sebagai perkembangan positif yang berpotensi menyokong harga bahan kimia seterusnya meningkatkan margin kami.
"Trend ini juga mungkin mendorong pengeluar untuk menyelaraskan operasi dengan pengedaran penyumberan luar, mewujudkan peluang pertumbuhan bagi pengedar seperti kami. Dengan infrastruktur yang diperluas di Malaysia dan Vietnam, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini," katanya. - DagangNews.com