Saham Topmix catat premium 32% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham Topmix catat premium 32% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Topmix Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada premium 32.3% sebanyak 41 sen sesaham, berbanding tawaran awam permulaan (IPO) 31 sen sesaham.

 

Pada loceng pembukaan, kaunter saham itu menyaksikan 12.25 juta saham bertukar tangan.

 

Pengarah Urusan Topmix, Teo Quek Siang berkata, dana yang diraih menerusi IPO itu membolehkan pihaknya berkembang ke dalam pemasangan produk papan serpai muka melamin (MFC) bagi memenuhi segmen pelanggan baharu seperti pengeluar perabot.

 

Beliau berkata, MFC menyediakan pilihan kos efektif, membolehkan pihaknya menawarkan pelanggan produk yang lengkap pada harga yang kompetitif.

 

"Kami akan menubuhkan pejabat jualan di Pulau Pinang bagi meraih lebih banyak peluang perniagaan di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

 

"Menyedari potensi pertumbuhan di wilayah tengah juga, kami komited untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi segmen hartanah kediaman dan komersial.

 

"Kami juga berhasrat mengembangkan kapasiti gudang di wilayah tengah, memudahkan rangkaian inventori yang lebih luas bagi memenuhi pesanan yang lebih pantas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pelan pengembangan pihaknya adalah sejajar dengan pemulihan dalam pasaran hartanah, didorong oleh pelbagai inisiatif kerajaan dan pelaburan yang diluluskan dalam memacu pembangunan hartanah.

 

Penyenaraian itu berjaya mengumpul RM25.6 juta, dengan RM11.3 juta atau 44.2% telah diperuntukkan untuk modal kerja am. 

 

Syarikat itu juga merancang untuk menggunakan RM6 juta atau 23.3% daripada hasil untuk pengembangan perniagaan, inisiatif pemasaran dan jualan, termasuk penubuhan pejabat jualan baharu selain pengembangan gudang.

 

Topmix juga memperuntukkan RM5.3 juta atau 20.8% untuk pengembangan pemasangan produk MFC. Baki RM3 juta (11.7%) diperuntukkan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

M&A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com