RHB sasar tingkatkan peruntukan perkhidmatan kewangan lestari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB sasar tingkatkan peruntukan perkhidmatan kewangan lestari

Mohd Rashid (dua dari kiri) dan Megat Jalaluddin (dua dari kanan) pada sesi libat urus antara RHB dan TNB di Petaling Jaya, hari ini.

KUALA LUMPUR 23 Nov - Kumpulan perbankan RHB merancang untuk meningkatkan peruntukan bagi perkhidmatan kewangan lestari selepas mencapai 99% daripada sasaran menggerakkan RM20 bilion bagi segmen itu menjelang 2026.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Rashid Mohamad berkata komitmen semasa yang dibuat pada 2022, akan mencapai 100% menjelang tahun ini dan kumpulan berkenaan sedang meneliti sasaran seterusnya bagi tempoh melangkaui 2024.

 

"Kami telah berbincang secara panjang lebar di peringkat dalaman dan akan berkongsi dengan orang ramai mengenai sasaran seterusnya menjelang tahun depan," katanya, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi libat urus yang julung kali diadakan di seluruh negara bertemakan 'Memperkasa Perubahan: Melakar Masa Depan Tenaga Lestari bagi Pertumbuhan Perniagaan' oleh RHB dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Mengulas selanjutnya, Mohd Rashid berkata komitmen berkenaan dapat direalisasikan menerusi Program Pembiayaan Lestari RHB (SFP) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan lestari khusus mengikut keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam penyelesaian tenaga dan hijau secara cekap.

 

 

Mohd Rashid Mohamad
Mohd Rashid Mohamad

 

 

"Selaras usaha memperakui keperluan dan cabaran PKS, kami sentiasa melakukan libat urus dengan mereka bagi memberi khidmat nasihat sokongan, meningkatkan kesedaran dan memahami risiko pengurusan kelestarian dan pengurusan kelestarian," katanya.

 

Dalam pada itu, RHB dan TNB akan memperluas sesi libat urus di serata negara yang akan membolehkan PKS memanfaatkan kepakaran TNB dalam nasihat teknikal berkaitan kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui selain akses kepada rangkaian pembiayaan hijau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata pihaknya telah merangka pelan khusus bagi mencapai kejayaan khusus untuk PKS.

 

"Kami menawarkan rangkaian penyelesaian hijau yang tidak hanya bagi memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tetapi menyediakan peluang penjimatan kos dan melonjakkan perniagaan agar lebih mampan," katanya.

 

Pada 28 Ogos lalu, RHB dan TNB secara rasmi memuktamadkan perjanjian kerjasama sewaktu Persidangan Peralihan Tenaga 2023 yang membabitkan usaha kolektif bagi menyokong serta dan menggalakkan amalan perniagaan kepada PKS.

 

Antara penyelesaian itu adalah solar bumbung oleh GSPARX serta pelbagai produk cekap tenaga oleh TNBES, TNBX dan pengecas kenderaan elektrik (EV) oleh Chargepoint, rakan Tenaga Switchgear serta skim pembiayaan hijau dan pakej insurans RHB.  - DagangNews.com