RHB Research syor 'jual' saham NTPM,  persaingan sengit berisiko kepada prospek kumpulan | DagangNews Skip to main content

RHB Research syor 'jual' saham NTPM,  persaingan sengit berisiko kepada prospek kumpulan

Antara jenama yang dikeluarkan di bawah NTPM Holdings. - Gambar : Facebook NTPM
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Sept - RHB Research menyemak turun penarafan saham NTPM Holdings Bhd. kepada 'jual' daripada 'neutral' dengan harga sasaran lebih rendah pada 35 sen berbanding 41 sen sesaham sebelum ini.

 

Ia berikutan keputusan kewangan suku pertama berakhir 31 Julai 2022 yang mengecewakan disebabkan ketidakupayaan kumpulan melepaskan kenaikan kos produk yang meningkat secara mendadak. 

 

Firma itu mengambil langkah berhati-hati terhadap prospek NTPM memandangkan kos pengeluaran yang meningkat berikutan harga bahan mentah tidak menentu, persaingan semakin meningkat dan pertumbuhan lembap dalam jualan eksport.

 

"Walaupun selepas mengambil kira pemulihan pendapatan secara beransur-ansur, kami percaya masih terdapat kelemahan daripada penilaian semasanya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Syarikat pulpa dan kertas multinasional Malaysia serta barangan pengguna dan merupakan antara pengeluar kertas terbesar di dunia itu menyaksikan untung bersihnya menjunam sehingga 93% kepada RM1.08 juta pada suku berkenaan.

 

Malah, kumpulan menjangkakan ia tidak mampu mengekalkan keuntungan pada suku berikutnya dengan mengambil kira kedudukan semasa persekitaran yang mencabar.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 25% kepada RM217.2 juta daripada RM173.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan jualan kertas tisu dan produk penjagaan diri.

 

Susulan prospek yang masih mencabar, RHB Research turut mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23), FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 48%, 11% dan 2%.

 

Firma itu menjangkakan tekanan ke atas pendapatan akan berterusan pada suku kedua, berikutan kenaikan harga bahan mentah dan tenaga tetapi pelepasan kos adalah secara beransur-ansur.

 

Katanya, NTPM akan melaksanakan kenaikan harga seterusnya dan kesannya akan mempengaruhi angka pada separuh kedua FY23.

 

"Pada asasnya, kami terkejut secara negatif dengan hakisan margin pada penyerapan kos walaupun kertas tisu merupakan produk pengguna penting dan kedudukan NTPM sebagai peneraju pasaran di Malaysia.

 

"Ini kerana pesaing utama tidak mengikut jejak langkah NTPM menaikkan harga, mungkin disebabkan mahu mendapatkan bahagian pasaran," jelasnya.

 

Menurut firma itu, landskap persaingan sedemikian seterusnya mendedahkan NTPM kepada risiko pendapatan yang lebih tinggi sekiranya harga bahan mentah atau kos lain meningkat lagi pada masa hadapan.

 

"Bagaimanapun, pihak pengurusan meramalkan harga bahan mentah dan beberapa tekanan kos akan berkurangan menjelang akhir 2023," katanya.

 

Setakat 12.05 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 2.35% kepada 41.5 sen dengan 399,300 saham diniagakan. - DagangNews.com