Protasco bakal lupuskan 100% sahamnya dalam IUKL kepada syarikat Hong Kong | DagangNews Skip to main content

Protasco bakal lupuskan 100% sahamnya dalam IUKL kepada syarikat Hong Kong

IUKL yang merupakan subsidiari kepada Protasco Berhad menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang selain kejuruteraan.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Anak syarikat Protasco Berhad menerima tawaran daripada sebuah syarikat Hong Kong untuk membeli kesemua sahamnya dalam Ikram Education Sdn Bhd (KISB) yang memiliki Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).

 

Kampus IUKL terletak di De Centrum City, Jalan Ikram-Uniten, Kajang.

 

Protasco dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Kumpulan Ikram Sdn Bhd (KISB) telah menerima surat tawaran daripada Star Teenagers International Group Limited (STI) untuk membeli 20,000,000 saham biasa yang dipegang oleh KISB dalam Ikram Education Sdn Bhd (IESB) yang mewakili 100% daripada jumlah modal saham terbitan IESB.

 

IESB, adalah pemilik perniagaan pendidikan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya menerima surat tawaran berserta deposit awal daripada STI pada 30 April 2024. 

 

 

"KISB telah memberi STI tempoh 3 bulan dari tarikh penerimaan surat tawaran (atau tempoh lanjutan lain yang mungkin dipersetujui oleh kedua-dua pihak) untuk menjalankan usaha wajar terhadap IESB," katanya hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, setelah selesai dan berpuas hati dengan usaha wajar STI, pihak-pihak akan memuktamadkan terma dan syarat Cadangan Pelupusan melalui Perjanjian Jualan Saham.

 

Jumlah pembelian tidak didedahkan oleh kumpulan. 

 

pro

 

Protasco pada keputusan kewangan suku keempat 2022 memaklumkan kekurangan pelajar dalam segmen pendidikan. 

 

Bagaimanapun bagi 4QY23, Protasco memaklumkan hasil segmen pendidikan meningkat daripada RM6.02 juta kepada RM7.35 juta, antaranya berikutan kenaikan yuran pelajar antarabangsa.

 

"Segmen ini mencatatkan pemulihan daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.44 juta pada suku yang sama sebelumnya kepada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.13 juta pada suku semasa.

 

"Pembalikan ini disebabkan oleh peningkatan dalam hasil dan perbelanjaan operasi dan pentadbiran yang lebih rendah," katanya dalam keputusan kewangan 4QFY23. - DagangNews.com