Prospek projek MRT3, PTMP Gamuda makin suram - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prospek projek MRT3, PTMP Gamuda makin suram - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Di sebalik prestasi yang melebihi jangkaan pada tahun kewangan 2021 (FY21), penganalisis melihat prospek Gamuda Berhad semakin suram ekoran projek utama yang dinanti-nantikan mungkin mengambil masa lebih lama untuk dilaksanakan. 

 

Jelas penganalisis di Kenanga Research, Lum Joe Shen, projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berdepan cabaran, apabila masing-masing memerlukan struktur pembiayaan baharu dan penyerahan semula Penilaian Alam Sekitar (EIA). 

 

Sementara, peluang Gamuda untuk meraih projek di Australia pula merosot apabila mereka gagal untuk memenangi dua daripada empat tender projek.

 

“Walaupun prestasi pada FY21 melebihi jangkaan, kami menyemak turun Gamuda kepada ‘market perform’ daripada ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM2.80 daripada RM3.40 ekoran prospek awal projek infrastuktur utama yang dijangka dilaksanakan sekarang mungkin mengambil masa lama, ditambah pula terma kurang menguntungkan,” jelas Joe Shen dalam satu nota penyelidikan.

 

Projek MRT3 yang sepatutnya dilaksanakan menerusi pembiayaan awam mungkin diserahkan sepenuhnya ke atas ‘bahu’ sektor swasta yang bakal terlibat untuk menanggung kos pembiayaan. 

 

Kata Joe Shen, walaupun penggearan bersih kumpulan ketika ini pada kedudukan sihat, namun tahap pinjaman tertinggi yang boleh diraihnya hanya kira-kira RM5 bilion sebelum had penggearan bersih mencecah 0.7x. 

 

“Perlu ingat bahawa pinjaman ini juga dijangka untuk membiayai PTMP,” tegas Joe Shen.

 

Projek PTMP yang sepatutnya memulakan kerja-kerja penambakan pada Ogos 2021 (setelah tertangguh daripada Mei 2021), pula memerlukan Gamuda untuk menghantar semula kajian EIA yang mungkin mengambil tempoh selama lapan bulan.

 

Baca : Pulau Pinang lantik Gamuda kontraktor utama PTMP 

 

Dalam pada itu, Gamuda telah gagal dalam dua daripada empat tender di Australia mereka dan terpaksa menanggung kos bidaan sebanyak RM48 juta.

 

Namun, penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri yakin Gamuda akan memenangi projek pembinaan terowong, Sydney Metro West di Australia menerusi usaha sama dengan Laing O’Rourke.

 

“Kami difahamkan JV kumpulan merupakan antara tiga pembida yang berpotensi memenangi salah satu daripada dua pakej pembinaan terowong di bawah projek tersebut bernilai kira-kira RM7.5 bilion, di mana mungkin diberikan pada lewat suku pertama 2022 (1Q22), dilanjutkan kerana perubahan spesifikasi tender,” kata Ummar.

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘beli’ ke atas Gamuda, namun TP diturunkan kepada RM3.63 daripada RM4.20.

 

Pada FY21, perolehan ternormal kumpulan melonjak 12% kepada RM583.7 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya, terutamanya dipacu oleh sumbangan perolehan lebih tinggi daripada segmen pembinaan dan hartanah. - DagangNews.com