KUALA LUMPUR 26 Jan - Projek kediaman mewah Allevia milik UEM Sunrise Bhd di Mont Kiara, Kuala Lumpur mencapai kadar pengambilan 90.5% dan dijadualkan untuk diserahkan kepada pembeli pada suku pertama 2025.
Ketua Pegawai Operasi UEM Sunrise, Liong Kok Kit berkata, projek tersebut telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 75% setakat Januari 2024.
Beliau berkata, pencapaian penting itu mengukuhkan kehadiran dan portfolio UEM Sunrise di wilayah tengah.
"Tradisi unggul UEM Sunrise adalah titik penting dalam proses pembinaan, melambangkan penyiapan fasa struktur dan pembangunan sebuah lagi kediaman mewah UEM Sunrise dengan pemandangan latar langit Mont Kiara yang menakjubkan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Liong, menara dengan densiti rendah 43 tingkat itu mencapai penarafan bintang emas dalam Green-RE dan dianugerahkan Pembangunan Bertingkat Hijau Terbaik yang direka dengan sempurna untuk kelestarian.
"Kami mengutamakan cahaya semula jadi dan pengudaraan di ruang umum dan penduduk juga boleh menjadi aman dengan tahap bunyi yang berkurangan diperkukuh ketumpatan dinding," katanya.


UEM Sunrise berkata, projek kediaman tersebut dibina di tanah pegangan bebas seluas 1.19 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM545.9 juta.
"Pembangunan itu terdiri daripada dua menara dengan jumlah 294 unit. Unit-unit tersebut berkeluasan antara 1,703 dan 2,634 kaki persegi, yang mana berharga dari RM1.5 juta hingga RM2.5 juta.


"Kemudahan di Allevia termasuk kemudahan terbuka seluas 0.36 hektar yang dilengkapi dengan kolam renang, halaman terbuka, taman permainan kanak-kanak serta kawasan barbeku," katanya.
Katanya, Allevia mempunyai akses ke Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) dan Lebuhraya Duta–Ulu Klang (Duke). - DagangNews.com








