Projek air di Indonesia jadi pemangkin jangka panjang kepada Ranhill Utilities - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Projek air di Indonesia jadi pemangkin jangka panjang kepada Ranhill Utilities - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Feb - RHB Investment Research menyemak naik harga sasaran Ranhill Utilities Bhd. kepada 63 sen daripada 55 sen sesaham sebelum ini dengan saranan 'beli' terhadap penarafan sahamnya dikekalkan selepas kumpulan merekodkan tahun kewangan 2022 yang memenuhi jangkaan firma. 

 

Ini mendorong firma itu menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 masing-masing sebanyak 33% dan 6% setelah mengambil kira tambahan bayaran air bagi pengguna bukan domestik bagi tempoh Ogos hingga Disember 2022. 

 

Selain itu, jangkaan prestasi lebih baik itu juga disokong menerusi sumbangan pemaju yang lebih tinggi bagi segmen air. 

 

"Namun, risiko kepada penarafan kami adalah bergantung kepada penggunaan air yang lebih rendah daripada jangkaan dan sumbangan pemaju serta kegagalan kumpulan memperoleh kontrak baharu di bawah cabang perkhidmatan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi FY22, syarikat mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 12.8% kepada RM1.73 bilion daripada RM1.53 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Pada tahun dalam tinjauan, keuntungan selepas cukai Ranhill Utilities meningkat dua kali ganda kepada RM143.86 juta daripada RM66.12 juta. 

 

Baca : Pendapatan Ranhill melonjak berlipat kali ganda didorong insentif pengurangan NRW

 

Mengikut asas segmen, perniagaan alam sekitar menyumbang RM1.17 bilion kepada hasil kumpulan pada FY22, peningkatan sebanyak RM14.79 juta daripada RM1.16 bilion pada FY21, disumbangkan menerusi hasil air yang lebih tinggi yang diiktiraf oleh RanhillSAJ berikutan penggunaan yang lebih tinggi pada tahun sektor komersial.

 

Menurut RHB Investment, pemangkin jangka panjang kepada prospek Ranhill Utilities, antaranya, termasuklah projek air sumber ke paip Djuanda di Indonesia (anggaran kapasiti rawatan 605 juta liter sehari dengan peruntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak AS$700 hingga AS$800 juta).

 

Setakat ini, kajian akhir mengenai kebolehlaksanaan sedang dijalankan, sebelum diserahkan kepada Kerajaan Indonesia dan selepas itu status pemula akan diberikan kepada konsortium yang diterajui Ranhill Utilities setelah diterima.

 

"Status pemula membolehkan konsortium membida projek tersebut melalui tender awam dengan kelebihan hak untuk padan.

 

"Pemangkin lain, ialah hasil positif daripada bidaan dalam projek pembangunan loji turbin gas kitaran gabungan 100MW di pantai barat Sabah (hasil diketahui selepas suku pertama 2023). Namun, ini masih belum dimasukkan dalam ramalan pendapatan kami," katanya.

 

Setakat 11.39 pagi, harga saham Ranhill Utilities menokok 3 sen atau 6.74% kepada 47.5 sen dengan 1.63 juta saham diniagakan. -DagangNews.com