Program Mini BITe 2023 buka peluang usahawan PMKS di Langkawi ceburi perniagaan pra-francais mampu milik | DagangNews Skip to main content

Program Mini BITe 2023 buka peluang usahawan PMKS di Langkawi ceburi perniagaan pra-francais mampu milik

(Tiga dan empat dari kiri) Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek dan Ahmad Fuad Che Ani pada majlis perasmian Mini BITe 2023 di Langkawi baru-baru ini
Oleh DIYANA ISAMUDIN

LANGKAWI 29 Ogos - Program Mini Business In-Transformation Expo (Mini BITe) 2023 di Langkawi membuka peluang kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menceburi perniagaan pra-francais mampu milik, kata Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu berkata ia optimis bahawa program Business In-Transformation (BIT) mampu melahirkan lebih ramai usahawan francais dalam kalangan usahawan PMKS.

 

Program BIT merupakan program mentransformasikan perusahaan kecil dan sederhana sehingga menjadi perniagaan yang berdaya saing dan boleh dimajukan ke arah perniagaan francais.

 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Ahmad Fuad Che Ani (tiga dari kiri) bersama franchaisi di bawah Pernas, GTR Burger di Mini BITe 2023
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Ahmad Fuad Che Ani (tiga dari kiri) bersama franchaisi di bawah Pernas, GTR Burger di Mini BITe 2023

 

 

Dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), program Mini BITe merupakan inisiatif bagi membantu usahawan BIT mempromosi pakej dan model perniagaan, serta membuka peluang kepada peserta untuk menceburi bidang keusahawanan, khususnya perniagaan yang bersistematik seperti BIT dan seterusnya perniagaan francais.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad Fuad Che Ani berkata penganjuran Mini Business In-Transformation Expo (Mini BITe) 2023 di Langkawi mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosi program BIT kepada golongan sasar, seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan baharu khususnya dalam perniagaan sistem francais.

 

Tambahnya, penganjuran program tersebut adalah selaras dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan masyarakat negeri Kedah, khususnya di Langkawi, sekali gus menjana ekonomi negeri Kedah.

 

 

Mini bited 2023

 

 

“Perniagaan francais merupakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai usahawan daripada kalangan PMKS. Kerjasama ini, dapat membantu mereka untuk mengubah perniagaan supaya mampu berdaya saing dengan jenama-jenama besar, seterusnya dapat dikembangkan ke peringkat global,” ujar beliau pada majlis perasmian Mini BITe 2023 di Langkawi.

 

Acara Mini BITe 2023 itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Negeri Sarawak, Ripin Lamat, dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.

 

 

Mini bited 2023

 

 

Pernas berkata bagi tahun ini, ia telah menyasarkan untuk membangunkan 24 pra-francaisor dan 48 pra-francaisi melalui program BIT dengan sasaran pembiayaan RM2 juta dan mewujudkan 300 peluang pekerjaan baharu.

 

Sehingga kini, katanya, sejumlah RM13.35 juta telah disalurkan kepada usahawan BIT yang berkelayakan dan Pernas telah berjaya melahirkan 1,400 orang usahawan pra-francaisi serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2,800 orang.

 

Sejak diperkenalkan dalam tahun 2013, sebanyak 207 buah syarikat dari pelbagai sektor telah mendaftar dalam program BIT.  - DagangNews.com

 

 

Mini bite 2023

 

Mini bite 2023

 

Mini bite 2023