Program IPR-INTAN Usahawan Tani UPM beri impak positif kepada golongan belia B40 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program IPR-INTAN Usahawan Tani UPM beri impak positif kepada golongan belia B40

Nur Razam Hamid berkongsi impak positif menyertai program IPR-INTAN Usahawan Tani UPM.
Oleh Nur Syamila Kamarul Arefin

KUALA LUMPUR 7 Dis - Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memberi impak positif dalam kehidupan usahawan tani yang terdiri daripada golongan muda B40 di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang dikendalikan Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Para peserta yang menyertai latihan Program Kecemerlangan Industri Pertanian selama setahun di UPM didedahkan dengan kemahiran pertanian moden dari segi teori dan juga praktikal.

 

Nur Razam Hamid, 25, berkata, peluang yang ditawarkan itu tidak disia-siakan kerana bidang pertanian sangat meluas dan memerlukan latihan profesional dengan bantuan infrastruktur pertanian yang sukar diperolehi.

 

"Dari zaman sekolah lagi saya berminat dalam bidang pertanian kerana ibu dan ayah mengerjakan ladang kelapa sawit di kampung. Minat sahaja tidak mencukupi tanpa sebarang ilmu pertanian lagi-lagi zaman sekarang terdapat pelbagai infrastruktur pertanian yang canggih.

 

"Program ini sangat membantu saya untuk mendapatkan latihan secara teori dan amali bagi menjadi seorang petani muda moden yang mempunyai perniagaan suatu hari nanti," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Bagi Ummu Hani Abdu Razak, 23, yang baru sahaja bergraduat di UPM, dia bukanlah seorang pelajar dalam bidang pertanian. Namun, minat pada bidang keusahawanan adalah salah satu faktor graduan itu memilih menyertai program.

 

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu berpendapat, bidang pertanian adalah sebuah perniagaan yang bukan sahaja mampu bertahan, malah terus berkembang.

 

 

upm
Ummu Hani Abdu Razak

 

 

"Saya bercita-cita ingin membuka sebuah ladang berkonsepkan agropelancongan agar pelanggan dapat menikmati pengalaman memetik sayur dan buah-buahan seakan berada di kebun sendiri.

 

"Selain itu saya bercita-cita untuk membekalkan sayuran dari ladang tersebut kepada pasar raya dan kedai runcit di sekitar Johor. Peluang yang diberikan ini akan saya gunakan sebaik mungkin," ujarnya.

 

Program itu turut membantu mereka menjana pendapatan tambahan secara mampan dengan menjual hasil tanaman di ladang UPM. Di samping itu, para peserta turut mempelajari ilmu keusahawanan.

 

Sementara itu, Khairul Najmi Ainal Idham pula berkata, dia terpilih menyertai program dan ia sebuah pengalaman manis yang akan diingati sampai bila-bila di UPM kerana bersama-sama menjaga tanaman sehingga memperoleh hasil yang banyak dan berkualiti.

 

"Semasa menuai hasil buah rock melon, segala kepenatan selama ini dilupakan kerana berjaya memperoleh hasil yang sihat dan berkualiti, berkat penjagaan rapi bersama rakan-rakan yang menyertai program ini.

 

"Zaman sekarang kita semua kena bersyukur kerana pertanian tidaklah terlalu memenatkan kerana pemerkasaan sektor pertanian menggunakan internet kebendaan (IoT).

 

 

upm
Khairul Najmi Ainal Idham

 

 

"Gabungan IoT dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertanian ini dapat meningkatkan produktiviti, kecekapan tanaman dan mengurangkan kos pengeluaran serta tenaga kerja," katanya.

 

Sebelum ini, Kementerian Ekonomi bekerjasama dengan UPM untuk membangunkan sebuah pusat latihan kemahiran pertanian moden, selain UPM turut melancarkan IPR Usahawan Tani di bawah kementerian untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui teknologi pertanian.

 

Tempoh latihan bagi peserta program tersebut adalah setahun bagi sektor agropreneur dan setahun setengah bagi sektor akuakultur. - DagangNews.com