Produk Ladang'57 keluaran FGV kini di MYDIN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Produk Ladang'57 keluaran FGV kini di MYDIN

Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya dan Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin memperkenalkan produk Ladang'57 ketika pelancaran cawangan terbaharu MYDIN di Tunjong, Kelantan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 17 Mac - Ladang’57, jenama premium FGV Holdings Bhd. bagi produk tanaman kontannya kini boleh didapati di rangkaian cawangan MYDIN di seluruh negara mulai bulan ini.

 

Pengguna boleh mendapatkan hasil tempatan berkualiti premium di 62 cawangan MYDIN seperti nanas MD2, pisang Cavendish, jagung manis, kelapa pandan, jus MD2 dan potongan MD2. 

 

Produk bermusim lain akan turut dijual dari semasa ke semasa, termasuk mangga Chuping Harumanis yang bakal dipasarkan bermula April.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, produk tersebut diperoleh terus dari ladang dengan kualiti dan rasa yang terbaik. 

 

Katanya, dihasilkan dan ditanam di Malaysia oleh FGV dan peladang kontraknya, Ladang’57 menterjemahkan komitmen kumpulan terhadap program jaminan makanan negara dengan menyokong dan meningkatkan kemahiran petani tempatan dan hasil mereka, yang selamat dan mampan.

 

"Melalui anak syarikat kami, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), kami menjanjikan bekalan konsisten dan kualiti premium buah-buahan untuk pelanggan MYDIN.

 

“Kami juga meletakkan Ladang’57 sebagai salah satu jenama makanan di bawah Kumpulan FGV untuk memacu FGV sebagai pengeluar makanan terkemuka di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kemunculan pertama kali Ladang’57 di MYDIN bertepatan dengan pelancaran cawangan terbaharu dan terbesar mereka di Tunjong, Kelantan baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan ADUN Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus.

 

Ladang’57 telah dilancarkan di Lembah Klang pada Februari 2021. Para pelanggan boleh mendapatkan buah-buahan segar setiap hari melalui gogopasar.com, platform e-runcit FGV untuk pasaran Lembah Klang. - DagangNews.com