Prestasi kewangan Muhibbah Engineering dalam masa terdekat dijangka terus lemah - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan Muhibbah Engineering dalam masa terdekat dijangka terus lemah - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Prospek perolehan dan hasil Muhibbah Engineering Berhad (MEB) dijangka terus lemah dalam masa terdekat ini ekoran aktiviti pembinaan dan perjalanan dibuka lebih perlahan. 

 

Dalam masa sama, kumpulan juga berdepan kapasiti tenaga kerja yang terhad bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, menurut penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri. 

 

“Ini akan menjejaskan prospek perolehan kumplan dalam jangka masa terdekat ini memandangkan perkembangan pembilannya menerima impak daripada kemajuan kerja-kerja yang lebih perlahan. 

 

“Dari segi perniagaan konsesi lapangan terbang, kami mengunjurkan sumbangan perolehan kekal perlahan kerana sekatan perjalanan dan jumlah trafik yang lebih rendah. 

 

“Namun, bagi tempoh jangka masa panjang, prospek kumpulan akan disokong baik oleh pesanan buku tertunggaknya yang kukuh, iaitu kira-kira RM949.0 juta di mana dapat menampung perolehan bagi tempoh dua tahun akan datang,” jelas Ummar dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Bagi tempoh suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), hasil kumpulan menyusut sebanyak 10% kepada RM289.47 juta berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini terutamanya disebabkan oleh perkembangan pembilan yang lebih perlahan di segmen pembinaan kumpulan.

 

Susulan pemangkin positif yang kurang ditambah prospek lemah bagi segmen konsesi lapangan terbangnya, MIDF mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas MEB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.95. 

 

Senada itu, penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely mengekalkan saranan ‘kurangkan’ saham MEB dengan TP diturunkan kepada RM0.76 sesaham. 

 

Katanya, firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap pemulihan segmen konsesi Lapangan Terbang Kemboja MEB kerana sempadan negara yang masih ditutup. - DagangNews.com