PUTRAJAYA 21 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang telah memberikan nasihat dan sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun yang lalu.
"Ketaatsetiaan Kerajaan Keluarga Malaysia kepada Seri Paduka Baginda tidak boleh sama sekali diragui, malah kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara," kata beliau semasa berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di sini hari ini.
"Negara pada waktu saya mengambil alih tampuk pemerintahan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan.
"Ada pihak yang meramalkan bahawa bila bila masa sahaja Kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh berdasarkan sejarah lompat parti waktu itu.
"Syukurlah jangkaan itu tidak berlaku dan kini usia kerajaan ini telah menjangkau satu tahun," kata Ismail Sabri.
Menurutnya, waktu unik memerlukan pendekatan unik. Alhamdulillah, negara ini mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja Raja Melayu yang begitu prihatin kepada kesentosaan negara dan kebajikan rakyat.
"Atas nasihat Seri Paduka Baginda, maka kita telah mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama
rentas parti dengan pihak pembangkang.
"Hasil pendekatan inklusif ini, kita telah mencapai kestabilan politik. Pelbagai inisiatif lain yang kita rundingkan melalui sesi sesi konsultasi telah mendapat sokongan meluas semua pihak,'' kata beliau.
Ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang telah diluluskan sebulat suara.
"Tidak lupa juga saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen, baik dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, yang menyokong pelbagai inisiatif yang kita kemukakan.
"Sahabat saya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyebut, bahawa saya telah melakukan beberapa pembaharuan politik yang radikal dalam hanya setahun
pentadbiran saya. Semua ini tidak akan berlaku tanpa sokongan semua Ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen.
"Sesebuah Kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dokongan daripada semua pihak," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com








