PM minta Vietnam selesaikan isu pencerobohan nelayan dengan segera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM minta Vietnam selesaikan isu pencerobohan nelayan dengan segera

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap kerajaan Vietnam mengambil tindakan segera supaya tindakan pencerobohan nelayan dapat diselesaikan. - Gambar hiasan
Oleh Suriati Sidek Ahmad

HANOI 22 Mac -  Malaysia meminta Vietnam untuk mengambil tindakan konkrit segera supaya insiden pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat diselesaikan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu berkenaan semakin membimbangkan kerana sejak kebelakangan  ini nelayan Vietnam bukan sahaja menceroboh, malah ada yang bertindak agresif dan provokatif terhadap penguat kuasa maritim dan nelayan Malaysia dalam perairan negara.

 

“Jika dibiarkan ia mungkin boleh mencetuskan isu yang lebih besar, ini berkait rapat dengan isu dan aktiviti perikanan IUU (Illegal, Unregulated and Unreported Fishing-perikanan yang melanggar undang-undang, tidak dikawal selia, tidak dilaporkan) dalam perairan Malaysia,” katanya kepada kumpulan media Malaysia di sini hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam, semalam.

 

“Aktiviti sedemikian bukan sahaja menjejaskan aktiviti-aktiviti perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan Malaysia tetapi provokasi ini membimbangkan. Oleh itu saya telah meminta Perdana Menteri Vietnam untuk mengambil tindakan konkrit yang segera untuk menghentikan tindakan pencerobohan,” tambahnya.

 

Katanya beliau berharap kerajaan Vietnam atas dasar persahabatan dengan Malaysia, mengambil tindakan segera supaya tindakan pencerobohan nelayan dapat diselesaikan.

 

Ismail Sabri berkata isu itu bukanlah perkara baharu dan beliau sendiri pernah ke Vietnam sebelum ini bagi membincangkan perkara berkenaan semasa menjadi Menteri Pertanian.

 

Berhubung lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, Perdana Menteri berkata dalam lawatan itu beliau turut bertukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine, dan dalam isu ini kedua-dua negara mengambil sikap berkecuali.

 

Ismail Sabri berkata bagaimanapun, Malaysia tegas menyatakan tidak akan berkompromi dari segi pencerobohan negara lain ke atas negara berdaulat yang lain.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Luar, Datuk Shaifuddin Abdullah (kiri) dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Vietnam, hari ini.

 

 

“Kita tidak akan menyokong pencerobohan seperti ini, bagaimanapun pendirian kita tidak campur tangan. Kita  mahu supaya isu yang  berlaku di Ukraine dapat diselesaikan dengan cara diplomatik,” katanya.

 

“Mengenai sekatan yang dilakukan terhadap Rusia, kita menyatakan pendirian bahawa kita tidak menyokong sekatan yang dilakukan secara bersendirian, unilateral, kita hanya mengiktiraf sekatan jika ia diputuskan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tambahnya.

 

Ismail Sabri berkata  Malaysia dan Vietnam juga telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar bersama yang memaklumkan tentang hasil perbincangan antara Malaysia dan Vietnam, lapor Bernama.

 

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada Vietnam sebagai hos SUKAN SEA yang akan diadakan pada bulan Mei ini,” katanya. - DagangNews.com