PM berlepas ke UAE dari New York untuk lawatan kerja | DagangNews Skip to main content

PM berlepas ke UAE dari New York untuk lawatan kerja

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-77 di Ibu Pejabat PBB pada 23 September 2022. - Gambar Facebook Ruhaidini Abd Kadir
Daripada D.Arul Rajoo

NEW YORK 26 Sept - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat di mana beliau berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). 

 

Beliau tiba di bandar raya ini pada Khamis bagi menyertai pemimpin dunia lain dari lebih 150 negara pada Sesi ke-77 UNGA. 

 

Berucap dalam Bahasa Melayu, yang julung kali digunakan oleh pemimpin Malaysia di UNGA, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara pada Jumaat yang menyaksikan beliau menyentuh pelbagai isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine, Myanmar dan Palestin selain sekuriti makanan serta perubahan iklim. 

 

Beliau turut mencadangkan pewujudan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa susulan peningkatan inflasi di peringkat global. 

 

Ini merupakan penampilan kedua Perdana Menteri di PBB selepas menghadiri sesi ke-76 secara maya tahun lepas susulan pandemik COVID-19.

 

Di luar UNGA, Perdana Menteri bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, rakan sejawat beliau dari Belanda iaitu Mark Rutte dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. 

 

Semasa di New York, beliau turut menjadi tuan rumah majlis makan malam Keluarga Malaysia untuk diaspora Malaysia di Amerika Syarikat. 

 

Bahagian kedua lawatan kerja Ismail Sabri ialah kunjungan empat hari ke UAE dari 26 hingga 29 Sept. 

 

Beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi pada Isnin. 

 

Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE yang baharu pada 14 Mei lepas. 

 

Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk terus memperkukuh jalinan pelbagai usaha sama yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan UAE. 

 

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri dijadual berkunjung ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di mana tumpuan utama ialah potensi kolaborasi antara syarikat tersebut dan Petronas (Petroliam Nasional Bhd) dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui. 

 

Pada 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Timur Tengah. 

 

Bagi tahun 2021, nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 7.9% kepada RM22.29 bilion (AS$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (AS$4.93 bilion) pada 2020, lapor Bernama.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77. - Gambar BERNAMA

 

 

Sementara itu, Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membuka pejabat serantau Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) di Malaysia agar dapat memangkin pencapaian Matlamat Perbandaran mampan.

 

Ismail Sabri berkata, cadangan itu telah dikemukakan semasa pertemuan beliau dengan Guterres di ibu pejabat PBB di sini pada Sabtu.

 

UN-Habitat diberi mandat oleh Perhimpunan Agung PBB untuk mempromosikan bandar dan pengurusan bandar yang mampan dari segi sosial dan alam sekitar dengan matlamat menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi untuk semua.

 

"Proses perbandaran di Asia Tenggara sangat cepat, pembukaan bandar-bandar terlalu cepat, jika tidak dijaga dengan betul, pembangunan bandar-bandar yang tidak terkawal akan menyebabkan kesan alam sekitar yang teruk,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia di sini.

 

Menurut beliau, bagaimanapun Setiausaha Agung PBB itu, tidak menyatakan sebarang komitmen kerana penubuhan pejabat seumpama itu melibatkan banyak pertimbangan, terutamanya dari segi kos dan perjawatan.

 

Perdana Menteri berkata, cadangan penubuhan pejabat UN-Habitat itu turut dibincangkan dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang merupakan anak tempatan dan wanita pertama di Asia yang memegang jawatan itu.

 

Dalam pertemuan dengan Guterres itu juga, Ismail Sabri berkata, beliau sekali lagi membangkitkan soal transformasi badan dunia itu dan mengulangi cadangan supaya kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan atau dihadkan kuasanya.

 

"Masyarakat antarabangsa mengharapkan PBB bertindak apabila ada isu-isu tertentu dibawa ke badan antarabangsa ini. Jika gagal, apa kewajaran ujudnya PBB, misalnya ada tiga resolusi mengenai Palestin tetapi tiada penyelesaian setakat ini," katanya.

 

Guterres tambah Ismail Sabri, turut bersetuju dengan saranan beliau dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB ke-77 pada Jumaat untuk menghapuskan kuasa veto dan mencari penyelesaian dalam isu Palestin dan Myanmar.

 

"Malah, beliau memberitahu saya Perancis bersetuju supaya kuasa veto dihadkan," tambah Ismail Sabri yang akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu pada Ahad untuk lawatan kerja empat hari bermula Isnin. - DagangNews.com