KUALA LUMPUR 3 Julai – Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi amaran mengenai potensi kesan kewangan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhak menolak tuntutan pelepasan cukai berjumlah RM1.25 bilion bagi tahun taksiran 2018.
Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Rabu mendapati TNB telah membuat tuntutan insentif cukai yang sepatutnya diberikan kepada sektor pembuatan.
Walau bagaimanapun, mahkamah berpandangan bahawa TNB, sebagai syarikat utiliti yang menjana elektrik, sepatutnya memohon di bawah skim untuk syarikat utiliti.
“Kesilapan TNB boleh difahami,” kata mahkamah, “namun LHDN berhak untuk menolak tuntutan tersebut.”
TERKINI: TNB berdepan tuntutan cukai RM5.05 bilion, keputusan mahkamah jejas pendapatan FY2025
Dalam makluman di Bursa Malaysia, TNB berkata ia sedang menilai impak kewangan keputusan ini, yang dijangka memberi kesan negatif terhadap pendapatan dan aset bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
TNB menambah pihaknya kini akan memohon insentif pelaburan di bawah skim yang khusus untuk syarikat utiliti.
Isu Takrifan Perniagaan
Pertikaian ini berpunca daripada klasifikasi perniagaan penjanaan elektrik TNB. Pada 13 Julai 2020, LHDN telah mengeluarkan notis tuntutan cukai sebanyak RM1.81 bilion terhadap TNB, mendakwa syarikat itu secara salah menuntut Insentif Elaun Pelaburan Semula (Reinvestment Allowance) yang hanya layak untuk sektor pembuatan.
TNB mencabar notis itu menerusi semakan kehakiman, berhujah bahawa aktiviti terasnya — menukar bahan api kepada tenaga elektrik — termasuk dalam definisi "pembuatan" di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Hujah tersebut diterima oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan tersebut.
TNB pertama kali menerima notis tuntutan cukai itu pada Julai 2020. Namun, satu perintah persetujuan pada 29 Disember 2020 telah memansuhkan penalti, sekali gus mengurangkan jumlah kepada RM1.25 bilion.
Prestasi Saham TNB Terjejas
Susulan keputusan mahkamah itu, saham TNB ditutup 30 sen atau 2% lebih rendah pada RM14.60 pada Rabu, dengan permodalan pasaran mencecah RM85.11 bilion. Setakat ini, saham TNB telah susut sedikit melebihi 1% sejak awal tahun. - DagangNews.com








