KUALA LUMPUR 6 April – Kerajaan Negeri telah mengenal pasti cadangan tapak seluas kira-kira 1,000 hektar di Sungai Tong, Setiu yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan perladangan kelapa bersama Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn. Bhd. (MKIC).
Inisiatif untuk membangunkan ladang kelapa di negeri itu adalah langkah memperkukuh pengeluaran komoditi berkenaan serta merancakkan sektor agromakanan di Terengganu.
MKIC merupakan syarikat usahasama yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan pihak berkuasa kerajaan Kuwait yang terlibat dalam sektor perladangan dan pemprosesan minyak sawit, penternakan ayam serta perladangan kelapa.
Syarikat tersebut kini mengusahakan ladang kelapa seluas kira-kira 2,000 hektar di Semporna, Sabah yang ditanam dengan varieti kelapa Matag, Tacunan dan Nagus Dwarf, sekali gus menjadikannya antara ladang kelapa terbesar di Borneo.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komiditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata sejak penghujung tahun 2025, beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak telah diadakan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan MKIC bagi meneliti potensi kerjasama dalam pembangunan ladang kelapa di negeri itu.
“Secara dasarnya, kita sudah mengenal pasti cadangan tapak seluas kira-kira 1,000 hektar di Sungai Tongkat (dekat Sungai Tong) Setiu yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan perladangan kelapa dan cadangan tersebut telah dipersetujui oleh pihak MKIC.
“Lanjutan daripada itu, delegasi Kerajaan Negeri telah mengadakan lawatan ke Ladang Nagus milik MKIC di Semporna dalam satu sesi mesyuarat penyelarasan dan lawatan projek penanaman kelapa bagi meninjau sendiri operasi dan pembangunan ladang berkenaan,” katanya.
Tambahnya, antara fokus utama projek tersebut adalah untuk meningkatkan pengeluaran kelapa negeri, menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta membuka ruang kepada pemindahan teknologi pertanian moden.
“Kerajaan Negeri juga komited untuk membantu mempermudahkan urusan berkaitan permohonan tanah dan perbincangan lanjut di peringkat teknikal akan diteruskan bagi memperincikan aspek perancangan perniagaan serta terma-terma komersial projek berkenaan,” katanya. - DagangNews.com








