KUALA LUMPUR 8 Okt - Kementerian Pertahanan memperkukuh peranannya melalui pelaksanaan Program Ekonomi Madani, satu inisiatif strategik yang menyasarkan pemerkasaan komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pertanian moden dan lestari.
Program yang digerakkan sejak awal tahun ini bukan sekadar memenuhi agenda kebajikan warga tentera, malah memperkukuh kesejahteraan keluarga anggota, membina ekosistem keusahawanan komuniti serta menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, program ini dirangka bagi memastikan keluarga ATM tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi negara.
“Program ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan tambahan keluarga anggota, tetapi juga membina daya tahan komuniti kem agar lebih berdaya maju walaupun anggota bertugas di luar pangkalan,” katanya.
Objektif utama program termasuk menyokong kesejahteraan ekonomi keluarga ATM melalui penglibatan BAKAT, menyediakan peluang keusahawanan agro bernilai tambah, membina industri hiliran berasaskan madu, herba, cendawan dan sayuran, menyumbang kepada keterjaminan makanan negara serta mengukuhkan solidariti komuniti pertahanan.
Setiap kem diberi kebebasan memilih projek yang sesuai dengan minat dan keupayaan komuniti masing-masing.



Antara projek utama ialah penternakan madu kelulut dengan bimbingan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), penanaman cendawan tiram dengan kawalan suhu disokong oleh UniMAP dan UiTM, serta penanaman herba dan sayuran seperti serai, pandan dan ulam raja dengan bantuan teknikal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Selain itu, produk hiliran turut dibangunkan, termasuk baja organik daripada sisa bongkah cendawan serta pemprosesan madu menjadi propolis, lilin lebah dan produk kesihatan. Pendekatan ini menekankan penggunaan teknologi pertanian pintar, prinsip kelestarian dan potensi komersial jangka panjang.
Fasa awal program pada 2025 melibatkan 22 kem perintis, antaranya Kem Sungai Ara (Pulau Pinang), Kem Mahkota Kluang (Johor), Kem Perdana Sungai Besi (Kuala Lumpur) dan Kem Kabota (Tawau).
Menjelang 2027, program ini dijangka diperluas ke 90 kem di seluruh negara, menurut Kementerian Pertahanan.
Kem Sungai Ara kini telah menghasilkan madu kelulut dan cendawan, manakala Kem Mahkota Kluang melaporkan hasil tuaian awal yang memberi pendapatan tambahan kepada keluarga peserta.
Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan program ini dengan sasaran 9 tan keluaran setahun dan nilai pendapatan RM604,000 dalam tempoh 30 bulan.



Boustead Plantations menanggung 50 peratus kos pembangunan rumah kelulut, manakala PERNAMA memainkan peranan penting dalam pemasaran hasil cendawan dan herba.
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik seperti LTAT dan Boustead bagi aspek kewangan dan pembelian hasil madu, PERNAMA sebagai saluran pemasaran runcit, serta institusi pengajian tinggi termasuk USM, UniMAP, UiTM, UMT dan UTHM yang menyediakan kepakaran teknikal dan bimbingan penyelidikan.
“Dengan penglibatan universiti dan industri, kita bukan sekadar menanam dan menternak, tetapi membina ekosistem bernilai tambah yang mampan,” tegas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Program ini memberi pelbagai manfaat kepada keluarga ATM termasuk pendapatan tambahan, kemahiran baharu dalam pertanian moden dan keusahawanan, aktiviti produktif yang membantu kesejahteraan mental ketika anggota bertugas di luar, serta memperkukuh solidariti komuniti kem melalui kerjasama berpasukan.
Dari perspektif nasional, inisiatif ini menyumbang kepada keterjaminan makanan, pengurangan kebergantungan kepada import dan menjadi model pembangunan komuniti Madani yang boleh diteladani oleh sektor lain.
Program Ekonomi Madani Kementerian Pertahanan membuktikan kekuatan pertahanan negara tidak hanya bergantung kepada aset ketenteraan, tetapi turut diukur melalui kesejahteraan rakyat di sebaliknya.
Dengan sinergi antara kerajaan, industri dan akademia, program ini berpotensi menjadi agenda nasional yang menghubungkan semangat Madani dengan pertahanan dan kemakmuran negara. - DagangNews.com








