GCEO baharu Bank Islam mesti benar-benar berjiwa syariah: Pengumuman minggu ini? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GCEO baharu Bank Islam mesti benar-benar berjiwa syariah: Pengumuman minggu ini?

Fokus Berita oleh JOHARDY IBRAHIM

Sudah masuk minggu ketiga tahun baru 2026, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) masih belum mengumumkan pengganti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) selepas perletakan jawatan Datuk Mohd Muazzam Mohamed pada 31 Disember 2025.

 

Desas-desus industri kini menyebut tiga individu, termasuk seorang wanita, telah memohon jawatan, disaring dan diwawancara, serta kini menunggu lampu hijau terakhir dari Putrajaya untuk keputusan muktamad.

 

Kelewatan pengumuman pengganti GCEO bukan perkara luar biasa bagi entiti korporat dengan pegangan kerajaan tertentu. Lazimnya, pengumuman pucuk pimpinan baharu hanya dibuat selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Dalam konteks BIMB, pemegang saham terbesar ialah Lembaga Tabung Haji (hampir 49% ekuiti), diikuti KWSP (16.63%), PNB (8.58%) dan KWAP (3.2%).

 

Bisik-bisik di pasaran menyatakan pengumuman rasmi dijangka dibuat minggu ini. Namun, jika tertangguh juga, perkembangan tersebut berpotensi menarik perhatian pasaran kerana BIMB merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
 



 

 

 

 

Berdasarkan data dari 2025 hingga Januari 2026, BIMB mengalami trend saham yang mencabar, dengan prestasi kebanyakannya neutral hingga lemah sepanjang 2025.

 

Bagaimanapun, harga saham mencatat pemulihan ketara bermula awal Januari 2026. Saham ini diklasifikasikan oleh ramai penganalisis sebagai “MARKET PERFORM” atau “HOLD”, didorong oleh dividen yang tinggi tetapi terhalang oleh penyusutan margin faedah bersih (NIM) dan kos operasi yang meningkat.

 

Apakah pengumuman GCEO baharu akan mempengaruhi saham BIMB?

Jawapannya ya, dengan empat faktor utama:

 

1. Sentimen Pasaran dan Ketahanan: Perletakan jawatan GCEO yang berkhidmat lama, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed (yang menyelia pertumbuhan aset daripada RM64 bilion kepada lebih RM100 bilion), bermakna pasaran akan meneliti calon pengganti dari segi keupayaan mereka mengekalkan momentum tersebut.

 

2. Keyakinan Kontingensi/Peralihan: Pengumuman Mizan Masram sebagai Officer-in-Charge (berkuat kuasa 13 Disember 2025) bagi memastikan peralihan berjalan lancar bertujuan meminimumkan ketidakpastian, yang membantu menstabilkan harga saham. Jika pasaran menilai pilihan kepimpinan baharu sebagai tepat dan strategik, ia berpotensi mendorong pergerakan harga positif.

 

3. Keyakinan Institusi: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) telah aktif membeli saham baru-baru ini (setakat Januari 2026), menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap ketahanan bank meskipun berlaku perubahan kepimpinan. Sokongan institusi berterusan cenderung memberi kesan positif ke atas harga saham.

 

4. Arah Strategik: Latar belakang GCEO baharu akan dinilai berdasarkan keupayaan mereka meneruskan transformasi digital bank (seperti aplikasi ‘Be U’) dan mengurus margin pembiayaan bersih (NFM) dalam keadaan ekonomi semasa.

 

Pandangan Pakar Kewangan Islam

Berbincang perkara ini, Dr Razli Ramli, pakar kewangan Islam dari Azman Hashim International Business School (AHIBS), UTM dan anggota Jawatankuasa Syariah BSN dan Hong Leong Islamic Bank, berkata: "Sebagai bank Islam pertama di Malaysia dan antara institusi rujukan utama di peringkat serantau serta global, pelantikan GCEO baharu Bank Islam bukan sekadar isu penggantian jawatan, tetapi melibatkan pertimbangan strategik, institusi dan nilai."


 

Dr Razli Ramli
                         Dr Razli Ramli

 


Menurut beliau, CEO baharu perlu dipilih secara profesional, berasaskan merit, integriti, dan kesesuaian strategik, dengan fokus kepada kesinambungan operasi, transformasi digital, dan kepimpinan berjiwa Syariah.


"Lebih penting daripada aspek teknikal ialah keperluan seorang CEO yang benar-benar berjiwa Syariah.

 

"Perbankan Islam bukan sekadar menambah lapisan pematuhan Syariah, tetapi berasaskan falsafah, nilai dan objektif sosioekonomi Islam seperti keadilan, ketelusan, keseimbangan risiko dan tanggungjawab sosial.

 

"CEO perlu memahami sejarah penubuhan perbankan Islam di Malaysia, cabaran awal, peranan institusi agama dan pengawal selia, serta aspirasi kewangan Islam sebagai alternatif beretika dan mampan.

 

"Kefahaman terhadap maqasid al-Syariah perlu terpancar dalam keputusan strategik, dan calon yang menjiwai nilai Islam secara tulen akan melihat jawatan ini bukan sekadar kedudukan, tetapi amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat."

 

Peranan Kementerian Kewangan (MoF):

Dr Razli menekankan, walaupun penglibatan kerajaan sebagai pemegang saham utama tidak luar biasa, proses pemilihan CEO mesti dikendalikan oleh lembaga pengarah secara bebas dan profesional.

 

"Campur tangan pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, seharusnya terhad kepada penjajaran strategik dan tadbir urus peringkat tinggi, bukan operasi harian, bagi memastikan kebebasan institusi, integriti keputusan, dan keyakinan pasaran terus terpelihara."

 

 

 

 

 

 

Beliau menambah: "Keseluruhan, CEO baharu perlu mampu menyeimbangkan kesinambungan, transformasi, kepimpinan beretika, dan jiwa Syariah, seterusnya mengukuhkan peranan Bank Islam sebagai tonggak kewangan Islam di peringkat nasional dan global." - DagangNews.com