Dua projek hidrogen Sarawak dikecilkan skala susulan permintaan lemah - EIC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua projek hidrogen Sarawak dikecilkan skala susulan permintaan lemah - EIC

Lakaran artis projek hidrogen H2biscus di Sarawak yang dibangunkan dengan kerjasama Korea Selatan. - Gambar/ www.samsungena.com

KUALA LUMPUR 8 April - Dua projek hidrogen utama Sarawak, H2biscus dan H2ornbill, telah dikecilkan skala berikutan isyarat permintaan yang masih lemah, menurut Majlis Industri Tenaga (EIC).

 

Dalam Laporan Hydrogen Insight APAC April 2026, EIC memaklumkan kedua-dua projek tersebut telah mengurangkan kapasiti pengeluaran yang dirancang bagi 2025, mencerminkan ketidaktentuan berterusan dalam mendapatkan perjanjian pengambilan (offtake).

 

Menurut majlis itu, pelarasan berkenaan dibuat walaupun Sarawak kekal sebagai negeri paling maju dalam pembangunan hidrogen di Malaysia.

 

“Menerusi sokongan kukuh kerajaan serta kerjasama strategik dengan Jepun dan Korea Selatan, Sarawak kini mendahului dari segi pelaksanaan dan pembangunan projek hidrogen.

 

“Selain itu, sumber tenaga hidro yang melimpah membolehkan negeri itu menawarkan kos tenaga boleh baharu yang kompetitif bagi pengeluaran hidrogen hijau,” katanya lapor Borneo Post.

 

Bagaimanapun, EIC menjelaskan beberapa cabaran timbul pada 2025 apabila projek H2biscus dan H2ornbill terpaksa dikecilkan kepada kapasiti lebih rendah susulan kekurangan isyarat permintaan pasaran.

 

H2ornbill, yang diterajui oleh SEDC Energy bersama rakan kongsi dari Jepun iaitu ENEOS dan Sumitomo Corp, merancang pembinaan dua loji hidrogen dengan sasaran pengeluaran 90,000 tan metrik hidrogen bersih setahun menjelang 2030.

 

Sementara itu, projek H2biscus yang melibatkan kerjasama dengan syarikat Korea Selatan seperti Samsung Engineering, Posco dan Lotte Chemical, menyasarkan pembangunan kemudahan derivatif hidrogen berkapasiti 150,000 tan metrik setahun.

 

Laporan itu turut menyatakan pengeluaran komersial bagi projek-projek berkenaan berpotensi bermula seawal 2028, tertakluk kepada kelulusan keputusan pelaburan akhir (FID), selain sasaran Sarawak untuk mengeksport hidrogen hijau menjelang 2030.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak kini mempunyai lima projek hidrogen hijau yang berada dalam fasa pembinaan dan kejuruteraan, dengan kapasiti operasi dijangka dicapai menjelang 2029.

 

EIC, yang ditubuhkan pada 1943, merupakan organisasi perdagangan global yang menghimpunkan lebih 950 syarikat dalam rantaian bekalan tenaga, serta menyediakan risikan pasaran merentas pelbagai sektor industri.

 

Awal tahun ini, badan itu turut menganjurkan Persidangan CONNECT Energy Borneo 2025 di Kuching yang memberi tumpuan kepada agenda peralihan tenaga di rantau tersebut.

 

Laporan Asia Pacific Hydrogen 2026 telah ditulis oleh Muhammad Ekrahm, Penganalisis Tenaga – Hidrogen APAC dan CCS (CAPEX); Mohamed Azman, Penganalisis Tenaga – APAC (Rantaian Bekalan); dan Lim Xiao Shuen, Penganalisis APAC – Aset Operasi dan Penyahtauliahan. - DagangNews.com