Diesel kini RM6.02 seliter bagi tempoh 2-8 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Diesel kini RM6.02 seliter bagi tempoh 2-8 April 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 April - Harga runcit diesel di Semenanjung naik lagi sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 April hingga 8 April 2026, susulan krisis tenaga global yang masih berlarutan sehingga kini.

 

Bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026, harga runcit diesel ialah RM5.52 seliter. 

   

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 pula turun sebanyak 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga runcit RON95 tanpa subsidi kekal RM3.87 seliter.

 

 

 

 

 

 

Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter, manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.

 

Kementerian Kewangan memberitahu bermula 1 April 2026, had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan. Pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

 

Selain itu, Kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan.

 

Had Pengisian Diesel Kategori Kenderaan Bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian had maksimum 50 liter setiap pembelian, kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan had maksimum 100 liter setiap pembelian dan kenderaan melebihi 3 tan had maksimum 150 liter setiap pembelian.

 

Kementerian Kewangan memberitahu sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, Kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.


Selain langkah interim ini, Kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat, dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global serta implikasi terhadap pasaran tenaga global.


Kerajaan MADANI akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara.

 

Menurut Kementerian Kewangan, krisis tenaga global yang masih berlarutan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent global melebihi 40%, sehingga melepasi paras AS$100 setong.

 

Lebih kritikal, harga minyak yang diproses (refined product) bagi petrol dan diesel juga melambung tinggi masing-masing pada harga AS$150 setong dan AS$250 setong, sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

"Kerajaan komited untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global. Sejak krisis Asia Barat meletus, Kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh 3 minggu berturut-turut.

 

"Justeru, usaha mengekalkan harga petroleum bersubsidi kepada rakyat serta sektor tertentu akan terus diperkukuh bagi membendung kenaikan harga barangan dan melindungi kesejahteraan rakyat," kata kenyataan itu. - DagangNews.com