KUALA LUMPUR 10 Jun - Buat julung kalinya, portal berita perniagaan DagangNews.com turut sama menjadi Rakan Strategik majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Pengarang Urusannya, Johardy Ibrahim berkata, penyertaan portal berita ini di dalam penajaan HAWANA 2025 adalah seiring dengan matlamat mendokong dan menyemai penulisan berita perniagaan di negara ini.
Sebelum ini kata beliau, DagangNews.com juga menyokong Persatuan Wartawan Perlis dengan menyediakan hadiah khusus untuk berita perniagaan, dalam usaha memahirkan wartawan di utara dalam bidang tersebut.
Selain itu, DagangNews.com juga giat mengadakan sesi penerangan dan ceramah terutama di institusi pengajian tinggi menggalakkan pensyarah dan penyelidik terutamanya, menulis dalam cara mudah difahami oleh semua lapisan mengenai isu ekonomi atau kepakaran mereka.
Usaha-usaha terfokus oleh DagangNews.com ini berada dalam agenda menyebar luas mengenai kepentingan ekonomi dan perniagaan khususnya bagi pembaca-pembaca berbahasa Malaysia.
"Kami menyokong semangat HAWANA 2025 dan memang berbangga dapat menjadi Rakan Strategik HAWANA 2025," kata beliau di sini hari ini.
Johardy turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj yang sentiasa memberi sokongan kepada DagangNews.com.

HAWANA 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dijangka menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media tempatan, wakil persatuan wartawan serta media dari negara anggota ASEAN.
Majlis Kemuncak HAWANA 2025 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun ini.
HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk forum media, karnival serta pameran HAWANA di Sunway Putra Mall selama dua hari bermula 13 Jun.
Turut dijadualkan ialah acara sukan media yang menampilkan elemen tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak dan Johor sebagai sebahagian daripada usaha membina jaringan strategik dalam kalangan profesional media dan pakar industri.
HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran pertama pada 2018 adalah acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara. - DagangNews.com








