ALOR SETAR 21 Sept – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang individu membayar gantirugi berjumlah RM610,256.60 kepada pemilik berdaftar tanah bendang yang telah didudukinya secara salah selama lebih dua dekad.
Dalam keputusan itu, Hakim Dato’ Mohd Aimi Zaini turut mengarahkan faedah pada kadar 5% setahun dikenakan terhadap jumlah tersebut, bermula dari tarikh penghakiman sehingga pelunasan penuh dibuat.
Keputusan hari ini menyusuli penghakiman penuh pada 19 November 2024 oleh Hakim Dr. Arik Sanusi yang membenarkan tuntutan Plaintif dan mengarahkan supaya kerugian ditaksirkan melalui prosiding penilaian.

Menurut fakta kes, Defendan telah menceroboh dan mengusahakan tanah bendang berkenaan sejak tahun 2002 hingga 31 Disember 2024, iaitu selama 22 tahun, meskipun Plaintif-Plaintif merupakan pemilik berdaftar.
Plaintif mendakwa hasil tanaman padi dari tanah tersebut diambil sepenuhnya oleh Defendan sepanjang tempoh itu.
Dalam penyata tuntutannya, Plaintif-Plaintif menyatakan: “Akibat daripada tindakan Defendan menceroboh dan mengusahakan tanah tersebut, Plaintif-Plaintif telah mengalami kerugian ekonomi yang besar kerana tidak dapat mengusahakan serta menikmati hasil jualan padi dari tanah bendang berkenaan selama lebih 22 tahun.”
Defendan, Ahmad Idris dalam pembelaannya mendakwa beliau telah membeli tanah berkenaan daripada moyang Plaintif pada tahun 2002. Bagaimanapun, dakwaan tersebut dipertikai oleh pihak Plaintif dan tiada sebarang dokumen sah dikemukakan bagi menyokong pembelian itu, selain tiada kaitan darah atau pertalian keluarga antara Defendan dengan Plaintif.
Mahkamah dimaklumkan, meskipun laporan polis dibuat dan notis peguam dihantar, Defendan enggan mengosongkan tanah, malah berterusan mengusahakan sawah padi di situ sambil mendakwa tanah tersebut adalah miliknya.
Plaintif-Plaintif diwakili peguam Azmer Md Saad daripada Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli, manakala Defendan diwakili Mohamad daripada Tetuan Fahmi Mohd & Associates. - DagangNews.com








