KUALA LUMPUR 11 Okt - Anak syarikat milik penuh UOA Development Bhd, Distinctive Acres Sdn Bhd (DASB), telah dikenakan notis taksiran tambahan dan penalti berjumlah RM165.66 juta bagi tahun taksiran 2020 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOA Development berkata taksiran tambahan tersebut dikeluarkan berkaitan keuntungan daripada pelupusan harta pelaburannya, UOA Corporate Tower di Bangsar South, kepada UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) pada tahun 2020.
Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) telah menganggap keuntungan tersebut tertakluk kepada cukai pendapatan korporat dan bukannya cukai keuntungan harta tanah (CKHT), menurut syarikat itu.
“Berdasarkan nasihat daripada perunding cukai kami, syarikat mempunyai asas kukuh untuk mencabar asas perlakuan tersebut dan kesahihan notis cukai tambahan itu.
"Sehubungan itu, syarikat akan memfailkan Notis Rayuan melalui Borang Q dalam tempoh 30 hari dari tarikh hari ini,” katanya.
UOA Development berkata ia akan terus memberikan maklumat terkini berhubung sebarang perkembangan material berkaitan perkara tersebut. - DagangNews.com








