Saya, Satira dan Gila-Gila | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saya, Satira dan Gila-Gila

Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Kalau orang tanya saya apa yang saya ingat pasal Gila-Gila, saya akan cakap: bau kertas majalah yang baru keluar dari cetak, bunyi kartunis gelak sakan dalam ofis, dan rasa puas hati bila tengok orang ketawa baca tulisan saya.

 

Gila-Gila bukan sekadar majalah bagi saya – ia macam sekolah yang mengajar saya cara mahu sindir orang dengan penuh gaya, cara mahu buat orang gelak sampai terduduk, dan cara mahu tengok dunia dengan mata yang tidak serius sangat.

 

Saya menyaksikan sendiri bagaimana medium humor dan kartun menjadi denyut nadi budaya pop Malaysia. Dari awal, Gila-Gila mempunyai misi yang jelas: menggabungkan humor ala MAD Magazine dengan nuansa tempatan.

 

Tema "Malaysiana" menjadi tulang belakangnya—menggambarkan kehidupan harian, budaya, dan isu sosial masyarakat Melayu dengan sindiran yang halus atau pedas.

 

Saya mula masuk dunia Gila-Gila pada penghujung 1988, masa tu saya baru balik dari New Zealand, fresh grad dengan ijazah Sains Komputer dan Statistik dari University Waikato.

 

 

parafrasa

 

 

Tetapi apa mahu buat, ekonomi Malaysia tengah teruk masa itu – 1989 punya kemelesetan buat ijazah saya jadi macam kertas hiasan dalam almari. Untuk sementara, tiada kerja komputer kerana masih baru.

 

Saya duduk di Kampung Kerinchi masa itu, flat sewa, tetapi di Kuala Lumpur. Sebab tiada kerja tetap, saya ambil tiga kerja sambilan sekaligus.

 

Pagi saya jadi penterjemah ke Bahasa Melayu dan ke Bahasa Inggeris untuk NST dan Berita Harian di Jalan Riong – duduk di meja, terjemah artikel, pastikan ayat sedap baca.

 

Lepas itu tengah hari saya lompat bas mini no. 33, berpeluh sedikit, sampai ke ofis Gila-Gila di Jalan Pantai Baru.

 

Di Gila-Gila saya jadi penulis satira, main dengan perkataan untuk ruangan Serkop, Cerita-Ceriti, dan Falsampah Menyampah. Malam pula, lepas maghrib, saya tukar baju, pergi jadi pensyarah Bahasa Inggeris untuk pekerja swasta syarikat multinasional.

 

Kelas saya penuh dengan pelajar perempuan, dan entah macam mana saya jadi popular – mungkin sebab saya suka berjenaka, buat dia orang tidak kering gusi.

 

Tetapi yang saya tidak lupa, kerja kat Gila-Gila adalah yang paling saya enjoy.

 

Gila-Gila mula terbit pada 1 April 1978, dan masa saya join, majalah ini sudah menjadi macam ‘raja humor’ Malaysia.

parafrasa

Bayangkan, kartunis hebat macam Jaafar Taib, Lat, Rejabhad, Nan, Azman Yusof, Zainal Buang Hussein, Mishar – semua ada bawah satu bumbung. Penulis satira pula ada Pak Sako, Malungun, A. Samad Ismail, dan Adi Alhadi – saya rasa macam budak baru masuk universiti kartun.

 

Saya tengok kartunis muda macam Fatah, Don, Rasyid Asmawi, Ujang, Zunar, Imuda, Long, Tazidi, Cabai, Aman, Borobob, Lee Inas, Nudin, Kerengge, Aza, Ambo, Asan, Aloy – semua tengah naik nama.

 

Gila-Gila macam kilang bakat, tidak pernah sunyi, dan saya bangga jadi sebahagian daripada ‘institusi’ ini. Majalah ini angkat martabat kartun Melayu, buat orang nampak profesion ini bukan sekadar conteng-conteng, tetapi seni yang ada jiwa.

 

Masa saya mula menulis, saya duduk bawah Adi Alhadi, bos yang tidak pandai duduk diam. Dia penulis hebat – Mat Romeo, Minahleterdan 94 buah buku hasil penulisan – dan saya belajar banyak dari cara dia main dengan idea.

 

Adi ini macam enjin Gila-Gila, penuh semangat, dan saya salute cara dia pimpin kami.

 

Saya bermula dengan Serkop, ruangan pendek yang sindir benda sekeliling, pastu saya cuba Cerita-Ceriti, cerita pendek yang penuh humor, dan Falsampah Menyampah – ruangan yang bagi saya peluang nak falsafah sikit sambil buat orang ketawa.

 

Bukan senang mahu menulis satira, kena ada idea yang tajam, kena tengok apa yang jadi dalam masyarakat, dan kena bungkus dalam lawak yang orang boleh hadam. Tetapi bila karya saya keluar dalam majalah, saya rasa puas.

 

Surat peminat sampai berlonggok – ada yang cakap “Serkop kau buat saya tergelak sampai adik saya ingat saya kena sawan!” Saya rasa macam artis lah masa itu.

 

Zaman kegemilangan Gila-Gila, saya rasa, memang 80-an sampai awal 90-an. Masa itu majalah kartun macam raja hiburan – majalah muzik, gosip artis, dunia wanita, semua kena ketepikan.

 

Gila-Gila ada kelainan, dia fokus pada Malaysiana: budaya kita, cara kita hidup, benda yang kita nampak hari-hari.

 

 

parafrasa

 

 

Profesor Serba Tahu, maskot rasmi Gila-Gila, jadi ikon – botak licin, janggut panjang, perut borobudur, tapi penuh ilmu sindiran. Saya tengok majalah lain cuba lawan – Gelihati, Batu Api, Gelagat, Ujang – tapi satu persatu ‘gulung tikar’.

 

Gila-Gila sahaja yang macam pejuang terakhir, bertahan sampai hari ni, walaupun zaman dah berubah. Saya ingat edisi parodi ‘Si Badol’, lukisan AR Badul naik kereta pelik yang tidak masuk akal, harga RM1 sahaja, tapi 10,000 naskhah habis licin.

 

 

parafrasa
Pengasas Gila-Gila, Jaafar Taib dengan poster muka depan terbitan pertama majalah itu

 

 

Slogan dia pun gila lawak, buat orang tak boleh tahan nak beli. Itulah kuasa Gila-Gila – murah, kelakar, dan dekat dengan hati orang Malaysia.

 

Saya suka tengok cara Gila-Gila hidupkan satira. Pak Sako dengan Pepatah Petitih dia, sindir orang guna pepatah Melayu tetapi tambah cerita pendek yang buat saya gelak.

 

Contohnya, “di tempat tiada helang, kata belalang sayalah helang” – dia boleh buat cerita pasal belalang yang berlagak macam bos sampai saya rasa hendak tepuk meja.

 

Saya pun cuba bawa gaya saya sendiri – satira yang ada sentuh agama, ada humor, sosial dan cuba buat orang tersenyum sambil berfikir.

 

Saya selalu selit falsafah hidup dalam tulisan, macam “hidup ni kalau tak ketawa, confirm kering,” dan orang suka. Surat peminat saya, ada yang cakap “Falsampah kau buat saya tengok hidup lain macam.” Saya rasa banggalah, sebab satira saya bukan sekadar lawak, tetapi ada makna.

 

 

parafrasa

 

 

Gila-Gila ni hidup sebab semangat Jaafar Taib, pengasas. Dia mahu Gila-Gila kekal, dan kami semua – kartunis, penulis, pembaca – sokong misi itu.

 

Saya ingat masa saya duduk di ofis, kartunis macam Rejabhad dan Lat selalu borak pasal idea, ketawa sama-sama, pastu saya duduk di sudut tetaip mesin taip, fikir mahu sindir apa hari ini.

 

Kadang saya tengok mereka lukis, saya pun cuba conteng sikit, tapi kartun saya tidak menjadi – hanya menulislah saya kuat. Gila-Gila macam keluarga, dan saya rasa bertuah jadi sebahagian daripada zaman kegemilangan itu.

 

Sekarang saya tengok dunia dah berubah. Media sosial macam TikTok, Instagram, Facebook – semua ambil alih dunia satira. Dulu kami sindir dalam majalah, tunggu sebulan baru orang baca.

 

Sekarang orang sindir dalam video 15 saat, terus viral. Tetapi saya tidak lupa zaman Gila-Gila – masa saya lompat bas mini, duduk kat ofis sampai malam, ketawa dengan kartunis, dan tulis satira sampai jari lenguh.

 

Satira di Gila-Gila mempunyai dua wajah: horas (lembut, bergurau) dan juvenalian (kasar, penuh kecaman). Pepatah Melayu yang dihidupkan oleh Pak Sako dalam Pepatah Petitih misalnya, mengajar moral melalui perumpamaan seperti "di tempat tiada helang, kata belalang akulah helang".

 

Sementara itu, parodi politik atau sosial sering menggunakan sindiran tajam untuk memperlihatkan kejanggalan masyarakat.

 

 

parafrasa

 

 

Sayangnya, era ini perlahan memudar. Media sosial kini mengambil alih peranan satire—lebih pantas, visual, dan mudah dikongsi.

 

Namun, Gila-Gila tetap relevan sebagai artefak budaya. Hampir setengah abad terbit, majalah ini menyimpan arsip kartun dan tulisan yang boleh diulang cetak tanpa kos tinggi—warisan yang menunggu dihidupkan semula.

 

Majalah ini mengajar saya satira bukan sekadar lawak kosong, tetapi seni untuk betulkan benda yang tidak kena, dengan cara yang orang boleh terima.

 

Saya harap ada generasi baru yang ambil semangat Gila-Gila, mungkin bukan dalam majalah lagi, tapi dalam bentuk lain – video, animasi, apa-apa sahaja – asalkan kekal bawa jiwa Malaysiana yang saya pernah rasa dulu.

 

Saya masih ingat satu hari kat ofis, Adi Alhadi panggil saya, “Kau punya Serkop ni sindir siapa ni?” Saya cakap, “Entah, sesiapa yang terasalah.” Dia gelak, terus cakap, “Bagus, teruskan.”

 

Saya bangga menjadi sebahagian dari sejarah itu. Gila-Gila mengajarkan bahawa humor bukan sekadar ketawa—ia cerminan identiti, kritik sosial, dan keberanian untuk tidak diam di hadapan ketidakadilan.

 

Mungkin sekarang di era media digital, kita perlu mencari cara baru untuk menghidupkan semangat ini: satire yang tidak hanya viral , tetapi juga bermakna.

 

 

parafrasa

 

 

Sebagai penutup, izinkan saya mengutip pepatah Pak Sako: "Sudah terang lagi bersuluh".

 

Jika kita mahu melihat kegemilangan satira tempatan bersinar kembali, mungkin sudah masanya untuk menyalakan lampu baru—dengan gaya, naratif, dan inovasi yang sesuai zaman.

 

Itulah Gila-Gila – tempat saya belajar jadi diri sendiri, tempat saya belajar ketawa walaupun hidup susah. Kalau saya boleh patah balik masa, saya nak duduk semula kat Jalan Pantai Baru, tengok kartunis conteng, dan tulis satira sampai pagi.

 

Nostalgia tu tak pernah hilang, dan Gila-Gila akan sentiasa ada dalam hati saya. - DagangNews.com