Inisiatif Celik MADANI dihargai ibu bapa pupuk tabiat melabur anak di peringkat awal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif Celik MADANI dihargai ibu bapa pupuk tabiat melabur anak di peringkat awal

Fokus Berita oleh MOHD RAFIE AZIMI

Langkah kerajaan memberi sumbangan pelaburan awal percuma berjumlah RM50 kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi inisiatif Celik MADANI, disyukuri oleh para pelajar malah turut mendapat reaksi positif kalangan ibu bapa. 

 

Rata-rata waris pelajar ditemui berpandangan, inisiatif berkenaan tidak hanya mendatangkan manfaat kewangan kepada mahasiswa malah turut membuka mata golongan muda terhadap kepentingan melabur, demi masa depan lebih baik.

 

 

Menurut seorang bapa, Hazwan Syah Nizam, 44, langkah kerajaan itu diyakini menghadirkan pulangan jangka masa panjang kepada golongan pelajar yang bakal melangkah ke fasa lebih mencabar dalam kehidupan iaitu untuk memulakan kerjaya.

 

 

Hazwan Syah Nizam

 

"Sekurang-kurangnya mereka sudah ada simpanan sebelum memulakan kerjaya. Inisiatif ini memang bagus dan kerajaan harus memastikan tiada yang tertinggal daripada menerima manfaatnya.

 

"Sesuatu yang menarik, program ini dikhabarkan turut merangkumi sesi literasi kewangan. Aspek ini sangat penting kerana tidak ramai yang celik berkenaan aspek kewangan termasuk dalam kalangan dewasa.

 

"Maka, kita telah mengambil langkah tepat untuk mendidik anak-anak muda berkenaan konsep menyimpan dan melabur.

 

“Langkah ini sangat baik kerana mampu melahirkan lebih ramai warganegara yang celik dalam aspek kewangan," katanya kepada DagangNews, baru-baru ini.

 

 

Siti Zaharah Hussain
 

 

Seorang pekerja restoran, Siti Zaharah Hussain, 44, berkata, langkah tersebut tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar IPT sedia ada malah turut memberi galakkan kepada para pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

 

"Saya menganggap inisiatif ini sebagai pendedahan awal untuk anak-anak mengenal dunia pelaburan. Walaupun cuma RM50, sekurang-kurangnya ada juga pelaburan dibuat untuk anak-anak dan wang itu juga akan berkembang selepas beberapa tahun.

 

"Kebanyakan kita termasuk saya sendiri pun agak terlewat untuk mengetahui mengenai dunia pelaburan. Maka inisiatif sebegini mampu mengelak daripada perkara sama terus berulang kepada generasi muda, agar mereka dapat lebih menjadi lebih bijak dalam merangka pelaburan," katanya.

 

 

Noor Liana Hadir
 

Bagi seorang guru Taska, Noor Liana Hadir, 40, langkah diambil kerajaan itu dianggap tepat memandangkan tidak ramai ibu bapa berkemampuan untuk mendidik anak masing-masing mengenai dunia pelaburan dan kewangan.

 

"Saya sendiri tidak tahu menahu mengenai dunia pelaburan kerana tidak pernah didedahkan mengenai perkara itu. Jadi bagaimana saya mahu mendidik anak saya mengenai perkara tersebut?

 

"Justeru apa yang dilakukan kerajaan ini wajar dihargai. Insya Allah inisiatif ini dapat mendidik anak-anak untuk terlibat dalam dunia pelaburan secara lebih aktif, untuk masa depan lebih baik," katanya.


BACA JUGA: Kerajaan seru IPT galak pelajar pupuk tabiat melabur dengan Celik MADANI - Amir Hamzah
 

Sebanyak satu juta pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima pelaburan awal percuma sebanyak RM50 dan alat literasi kewangan menerusi program Celik MADANI, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh PNB untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan tabiat menabung dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia.

 

Program lima tahun yang akan dilaksanakan bermula 1 Mac 2025 hingga 28 Februari 2030, kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada 22 Ogos 2024.

 

Program yang diuruskan oleh ASNB itu menyasarkan memanfaatkan kira-kira 200,000 pelajar setiap tahun bagi tempoh sepanjang lima tahun akan datang.

 

Fasa pertama program ini akan melibatkan pelajar semester pertama institusi pengajian tinggi awam dan universiti berkaitan kerajaan terpilih yang akan menerima pelaburan awal sebanyak RM50 yang dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) mereka dan dikunci selama lima tahun.

 

Fasa kedua program Celik MADANI yang melibatkan institusi pengajian swasta dan vokasional terpilih juga akan dilaksanakan.

 

Program ini adalah sebahagian daripada Kerangka Ekonomi MADANI (Masyarakat Adil dan Makmur) merupakan pendekatan yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan yang inklusif dan berkelanjutan.

 

Satu daripada konsep utama dalam kerangka ini adalah "menaikkan lantai," yang bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat yang paling rendah untuk menciptakan keseimbangan dalam menyebarkan kesejahteraan rakyat.

 

Dengan menerapkan langkah-langkah ini, diharapkan dapat mengangkat taraf hidup masyarakat yang paling rentan dan menciptakan masyarakat yang lebih adil dan sejahtera. - DagangNews.com

 

 

 

celik madani