KUALA LUMPUR 11 Dis. - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikatnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV) menemui hidrokarbon di Suriname setelah berjaya menggerudi telaga Sloanea-1 di Blok 52.
PSEPBV merupakan operator di Blok 52 dan mempunyai 50% kepentingan bersama ExxonMobil Exploration dan Production Suriname B.V. yang memiliki lagi 50% pegangan.
Naib Presiden Penerokaan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, pihaknya gembira dengan hasil positif daripada telaga tersebut.
Katanya, ini akan mendorong Petronas untuk membuat penerokaan di Suriname, yang merupakan salah satu lembangan yang menjadi tumpuan syarikat di Amerika Selatan.
"Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dengan ExxonMobil dan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan Republik Suriname, sebagai rakan penyelesaian bagi tenaga yang bersih dan boleh dipercayai dalam pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Blok 52, yang meliputi kawasan seluas 4,749 kilometer persegi terletak di utara perairan Paramaribo, ibu kota Suriname, sekitar lembangan Suriname-Guyana, yang mana beberapa penerokaan hidrokarbon ditemui.
Penggerudian telaga Sloanea-1 dibuat sedalam 4,780 meter menggunakan pelantar Maersk Developer.
Malah, penerokaan telaga Sloanea-1 menemui beberapa bungkus batu pasir hidrokarbon dengan kualiti takungan yang baik di bahagian Campanian.
Data telaga ini juga menunjukkan penentukuran potensi hidrokarbon yang sangat baik di blok tersebut. Penilaian seterusnya akan dilaksanakan untuk menentukan sejauh mana penemuan tersebut.
Sebagai tambahan kepada Blok 52, PSEPBV juga memiliki kepentingan dan pengendalian 100% di Blok 48 dan 30% pegangan dalam operasi bukan pengendalian di Blok 53. - DagangNews.com








