KUALA LUMPUR 13 Sept - Petronas, Gentari, Amazon dan Amazon Web Services (AWS) bekerjasama mempergiatkan inisiatif kelestarian dan penyahkarbonan mereka dalam peralihan tenaga global yang dipercepatkan.
Menurut kenyataan media Petronas, kerjasama antara pihak tersebut mencerminkan pendekatan menyeluruh ke arah kelestarian, kemajuan teknologi dan kemajuan sosio-ekonomi, yang akan melibatkan penerokaan potensi dalam beberapa bidang.
Di bawah kerjasama itu, Gentari akan menyokong penyahkarbonan rangkaian pengangkutan Amzon di India dengan bekerjasama dengan rakan kongsi perkhidmatan penghantaran pihak ketiga untuk mempertingkatkan penggunaan kenderaan elektrik mereka.
“Amazon telah komited untuk menggunakan 10,000 kenderaan elektrik (EV) dalam armada penghantarannya di India menjelang 2025 dan kerjasama itu juga akan melibatkan Gentari sebagai pembekal kenderaan elektrik dan mengiringi perkhidmatan pengurusan armada untuk rakan kongsi perkhidmatan penghantaran pihak ketiga Amazon,” katanya.
Di samping itu, Petronas dan AWS akan meneroka reka bentuk dan membina loji tercanggih, serupa dengan yang digunakan dalam gudang dan kemudahan Amazon bagi meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan sedia ada Petronas untuk potensi pengeluaran minyak mikroalga sebagai bahan api penerbangan yang mampan.
Amazon berhasrat untuk menilai rumusan bahan api alternatif dan rendah karbon Petronas untuk potensi integrasi dalam pelbagai bidang seperti mobiliti, aplikasi kuasa pegun dan pengurusan karbon.
AWS pula akan terus meningkatkan kemahiran pekerja teknikal dan bukan teknikal di Petronas dan mengukuhkan celik digital mereka melalui program latihan dan pensijilan AWS, sejajar dengan komitmen meluasnya untuk membantu membangunkan tenaga kerja terlatih secara digital bagi menggerakkan ekonomi digital Malaysia.
Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata syarikat itu percaya kerjasama tersebut penting untuk menyokong peralihan Asia dan dunia ke arah tenaga bersih.
"Kami mempelawa rakan kongsi berfikiran sama untuk bergabung tenaga memperkukuh ekosistem inovasi luas yang boleh menangani pelbagai cabaran sepanjang perjalanan kami bagi merealisasikan masa depan lestari bersama-sama,” katanya.
Pengarah Urusan AWS ASEAN, Conor McNamara berkata syarikat itu sedang memperdalam kerjasama dengan Petronas dan Gentari untuk menyokong matlamat bersamanya membina dunia yang lebih mampan menerusi pemupukan kepakaran dan teknologi.
"Bersama Petronas dan Gentari, dan dengan rantau AWS kami yang akan datang di Malaysia, kami berharap dapat menyokong perniagaan dan komuniti untuk memajukan iklim dan cita-cita pendigitalan mereka dengan teknologi awan terkini dan pembangunan bakat," katanya. - DagangNews.com








