Pestech gagal permohonan rayuan pertikaian landasan berkembar Gemas-JB dengan YTL Construction | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pestech gagal permohonan rayuan pertikaian landasan berkembar Gemas-JB dengan YTL Construction

KUALA LMPUR 8 Ogos - Pestech International Bhd menghadapi satu lagi halangan dalam usaha mencegah gangguan terhadap jentera yang digunakan dalam projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru yang diuruskan kontraktor Utama, Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL).

 

Ini susulan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Pestech Sdn Bhd (PSB) untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak permohonan PSB untuk injunksi sementara terhadap SPYTL. 

 

 

PSB adalah anak syarikat kepada Pestech International.

 

Memetik laporan The Edge, Mahkamah Persekutuan semalam juga memerintahkan PSB membayar kos sebanyak RM30,000 kepada SPYTL, tertakluk kepada peruntukan, menurut satu pemfailan oleh Pestech kepada bursa saham tempatan.

 

Walaupun permohonan kebenaran itu ditolak, Pestech menegaskan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana PSB sedang mendapatkan perintah untuk memaksa SPYTL memulangkan jentera dan menuntut ganti rugi untuk penahanan atau penggunaan yang salah, sedang berjalan, dengan pengurusan kes seterusnya dijadualkan pada 11 September ini.

 

Pertikaian antara Pestech dan SPYTL bermula pada pertengahan 2023 selepas Pestech ditamatkan sebagai subkontraktor untuk projek tersebut.

 

Projek ini, yang dianugerahkan kepada Pestech pada September 2018 di bawah SIPP-YTL JV - konsortium antara SIPP Rail Sdn Bhd dan SPYTL - mempunyai harga subkontrak tetap sebanyak RM399 juta.

 

Pestech bertanggungjawab untuk kejuruteraan turnkey, perolehan, pembinaan, dan penyelenggaraan sistem elektrifikasi untuk projek landasan sepanjang 197 km, yang pada asalnya dijadualkan siap pada April 2021.

 

Selepas lanjutan selama dua tahun, SPYTL menamatkan Pestech sebagai subkontraktor untuk projek tersebut pada Jun 2023, yang menyebabkan Pestech mempertikaikan penamatan tersebut dan mendakwa ia adalah tidak sah serta melibatkan penolakan subkontrak oleh SPYTL.

 

Secara berasingan pada bulan Mei tahun ini, Pestech memfailkan pembelaan dan tuntutan balas sebagai tindak balas kepada notis timbang tara SPYTL pada Oktober 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia. - DagangNews.com