Persidangan Asia Navigator 2024 jadi platform bincang kemajuan teknologi talian kecemasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Asia Navigator 2024 jadi platform bincang kemajuan teknologi talian kecemasan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Jan - Persidangan Asia Navigator 2024 yang berlangsung di sini berjaya menghimpunkan 350 peserta dan 19 penceramah termasuk profesional kecemasan global bagi membincangkan perkembangan sistem talian kecemasan.

 

Persidangan selama dua hari ini juga membolehkan pembuat dasar, pakar industri dan pihak berkepentingan meneliti Talian Kecemasan 999 (MERS 999) serta impaknya terhadap peningkatan keselamatan awam dan projek kritikal kebangsaan.

 

MERS 999 juga telah mengalami evolusi yang ketara untuk menyesuaikan dengan perubahan landskap teknologi dan keperluan tindak balas kecemasan. 

 

Peserta persidangan dapat melihat pelbagai fasa evolusi ini, dari penggabungan teknologi terkini hingga pembangunan dan integrasi pelbagai produk dan perkhidmatan.

 

Hadir menyampaikan ucapan perasmian persidangan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Rodzi Md Saad.

 

Beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang melihat kepada cara untuk menambah baik sistem MERS 999 sedia ada.

 

"Ini sejajar dengan matlamat negara untuk mengaplikasi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang juga dilihat sebagai salah satu cara untuk memperkasakan lagi sistem MERS 999 negara. 

 

"Oleh yang demikian, saya menggalakkan setiap individu untuk turut serta dalam memberi maklum balas dan mencadangkan penambahbaikan protokol MERS 999," katanya hari ini.

 

Menurut penganjur, Persidangan Asia Navigator merupakan sebuah acara tahunan diterajui International Academies of Emergency Dispatch (IAED), sebuah organisasi berpengkalan di Salt Lake City, Amerika Syarikat bersama Priority Dispatch Corp (PDC), TM One dan GFIS (M) Sdn. Bhd.

 

"Selain itu, persidangan ini akan mempamerkan pencapaian terkini sistem kecemasan Malaysia, serta aspirasi untuk menuju ke arah digital. 

 

"Penceramah-penceramah ternama juga akan menekankan peranan penting perkhidmatan tindak balas kecemasan, dan mengatasi cabaran yang timbul di era digital kini.

 

"Persidangan Asia Navigator 2024 ini akan berfungsi sebagai platform kerjasama bagi pertukaran idea MERS 999," katanya.

 

Selain terlibat dalam perbincangan dan forum yang membincangkan isu-isu yang relevan, peserta dialu-alukan untuk melihat sendiri pameran berkaitan perkembangan terkini polis, bomba, perubatan, dan penilaian jururawat, serta sistem yang berkaitan. 

 

Agensi-agensi perkhidmatan kecemasan tempatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia adalah antara agensi-agensi peneraju yang terlibat dalam sistem kecemasan Malaysia.- DagangNews.com