Persidangan Agung Tahunan Bersatu 18-19 Disember 2021 | DagangNews Skip to main content

Persidangan Agung Tahunan Bersatu 18-19 Disember 2021

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada majlis sambutan ulang tahun parti tersebut yang ke-5 pada 10 September 2021.

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept - Persidangan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2021 akan diadakan pada 18 hingga 19 Disember ini.

 

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, persidangan bagi peringkat cawangan akan diadakan pada 9 hingga 30 Oktober, manakala persidangan bahagian pula 12 hingga 14 November ini.

 

"Persidangan-persidangan tersebut akan dilakukan secara fizikal, maya atau 'hybrid' bergantung kepada kelulusan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)  Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 September 2021 turut membincangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan semasa dalam negara dan pengurusan parti.

 

''Dalam mesyuarat tersebut, MPT bERSATU merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Presiden atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bertaraf Menteri.

 

''BERSATU merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan tersebut,'' kata Hamzah.

 

Bersatu ujar beliau, yakin bahawa pelantikan Presiden dapat membantu Kerajaan merancang dan melaksanakan segala dasar serta inisiatif untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.

 

''MPT Bersatu juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat pada 27 September lalu,'' ujar beliau.

 

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu berkata, MPT Bersatu turut sebulat suara bersetuju melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu yang pertama.

 

"MPT Bersatu mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan percaya bahawa pelantikan Santhara mampu menarik lebih banyak penyertaan ahli-ahli bersekutu dan seterusnya meningkatkan sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat kepada Bersatu," ujarnya. - DagangNews.com