KUALA LUMPUR 7 Dis - Persatuan Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi (PPIT) Malaysia dan Asosasi Pengembang Infrastruktur dan Menara Telekomunikasi (ASPIMTEL) Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk perkongsian pengetahuan antara negara dan juga perbincangan bersama.
MoU ini akan memudahkan pertukaran maklumat daripada segi proses, ketersambungan luar bandar, peta jalan teknologi seperti meningkatkan penumpatan 4G dan 5G, reka bentuk infrastruktur telekom yang inovatif dan banyak lagi.
Ia juga menandakan era baharu untuk kerjasama dan perkongsian pengetahuan di antara Malaysia dan Indonesia dalam meningkatkan keterangkuman digital di rantau ini.
Presiden PPIT dan Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Malaysia, Muniff Kamaruddin berkata, kedua-dua pihak berkongsi matlamat sama untuk mengukuhkan infrastruktur digital dan memacu keterangkuman digital di negara masing-masing.
"Kami menanti untuk bekerja rapat dengan ASPIMTEL untuk membina lagi pengetahuan, proses dan amalan infrastruktur kami yang sedia ada dan pada masa yang sama mengeratkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani Munif dan Ketua Pegawai Operasi PT Dayamitra Telekomunikasi Tbk (MTEL), Hastining Bagyo Astuti mewakili Pengerusi ASPIMTEL dan Direktor Presiden PT Dayamitra Telekomunikasi Tbk (MTEL), Theodorus Ardi Hartoko.
Ia turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Theodorus berkata, kerjasama untuk mengukuhkan infrastruktur digital dan menggalakkan kemasukan digital adalah sangat baik dan ditunggu-tunggu, terutamanya apabila mereka sebahagian daripada rantau yang sama.
"Secara automatik, ini akan mendorong pertumbuhan sektor digital dan juga infrastruktur di negara masing-masing. Kami berharap kerjasama ini dapat dilaksanakan secara konsisten dalam jangka masa panjang," katanya.
Dengan pemeteraian MoU itu, PPIT dan ASPIMTEL kini dapat mengukuhkan komitmen negara masing-masing untuk berkongsi pengetahuan inovatif dan amalan terbaik, menandakan era baharu kerjasama dan perkongsian antara Malaysia dan Indonesia untuk meningkatkan rangkuman digital di rantau ini. - DagangNews.com